Di sebalik sikap yang tegas dan lantang bersuara, penyanyi otai, Datuk Hattan mempamerkan sisi yang berbeza apabila membawa watak hero dalam filem bergenre komedi ringan, Gadis Jolobu The Movie.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Ning Baizura Penyanyi Yang Bagus, Saya Simpati Dengan Dia’ – Hattan
Artikel Berkaitan: Demi Ikut Trend Semasa, Joey Daud Buka Akaun Instagram & TikTok
Anggap macam anak
Ketika ditemui OhBulan!, Hattan, 57, menyatakan perbezaan umur dengan pendatang baharu, Ahirine Ahirudin, 26, tidak menjadi penghalang untuk menjayakan watak pasangan bercinta.
Kata Hattan, dia bertanya dahulu sama ada Ahirine selesa untuk melakukan babak romantik seperti berpegangan tangan.
Saya cakap dekat Ahirine okey tak macam ini (babak romantik). Ahirine balas dia okey saja. Saya segan la sebab kenal ayah dia (Datuk Ahirudin Attan atau Rocky Bru). Kami berkawan.
Saya anggap Ahirine macam anak. Bila berlakon, kita jayakan watak itu dengan profesional.
Ditanya sama ada meletakkan harapan tinggi untuk kutipan filem ini, pemilik nama Mohd Shukri Shahabudin yakin Gadis Jolobu The Movie bakal menerima sambutan luar biasa di pawagam.
Saya sebenarnya berharap tapi tidak la kutipan sampai 90 juta. Itu hebat sangat. Kalau ada rezeki, rasanya enam juta pun okey. Itu pun alhamdulillah.
Saya yakin filem ini boleh pergi jauh. Penerbit dan pengarah handal, macam-macam idea mereka.
Hattan berkata demikian ketika Malam Gala & Sidang Media Gadis Jolobu The Movie yang diadakan di GSC Starling, Damansara Utama, pada Jumaat.
‘Feel’ kampung ke layar perak
Sementara itu, pengasas Zebra Studio dan pengarah, CL Hor berkata, dia mempunyai keyakinan tinggi apabila filem memaparkan keunikan adat dan budaya Malaysia mampu berdiri setanding dengan filem genre lain.
Gadis Jolobu mengangkat adat dan budaya yang berwarna-warni dengan sinematografi persekitaran kampung. Malah, elemen komedi akan menambahkan perisa memperkenalkan Malaysia di mata dunia.
Jujurnya, saya sudah lama mahu menghasilkan filem budaya tempatan sebab saya selalu melihat Malaysia mempunyai banyak tarikan lokasi yang cantik.
Menerusi filem ini saya berpeluang menjayakan penggambaran di kawasan kampung untuk membawakan ‘feel’ kampung ke layar perak, sekali gus memperkenalkan lokasi Malaysia untuk penonton luar.
Selain itu, pengasas Bersama Zebra Studio dan Penerbit Eksekutif, Saraleana Nattaya Azmi berkata, pihaknya juga merancang untuk melakukan wayang pacak filem Gadis Jolobu The Movie sekitar Negeri Sembilan, September depan selepas tayangan di pawagam.
Gadis Jolobu The Movie dihasilkan susulan kejayaan lagu duet Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu yang meraih tontonan hampir 10 juta di YouTube.
Filem terbitan syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd sudah boleh ditonton di pawagam GSC di seluruh negara dan platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY.