Setahun yang lalu, Belanjawan 2024 telah dibentangkan dengan cita-cita besar melalui Kerangka Ekonomi Madani untuk memastikan kehidupan rakyat lebih sejahtera dan berdaya saing.
Dengan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan, kerajaan komited untuk memperbaiki taraf hidup rakyat, terutama bagi golongan B40, nelayan, pesawah, dan mereka yang memerlukan.
Kini, setahun selepas pelaksanaannya, pencapaian program-program dari Belanjawan 2024 semakin ketara dan positif. Inisiatif-inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Kampung Angkat Madani serta usaha dalam sektor pendidikan, kesihatan dan tenaga hijau telah mula membuahkan hasil dan memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.
Pencapaian-pencapaian ini bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat, tetapi juga memperlihatkan bagaimana pembangunan ekonomi yang lestari dan berasaskan nilai Madani mampu memperbaiki kehidupan masyarakat secara keseluruhan.
Berikut adalah beberapa pencapaian terbesar yang dicapai setakat ini dalam membantu rakyat melalui pelaksanaan Belanjawan 2024.
Rakyat terus dibantu dengan Sumbangan Tunai Rahmah (STR)
Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah memberi bantuan kewangan maksimum sehingga RM3,700 setahun, membantu lebih 8.4 juta penerima meringankan beban kos sara hidup mereka.
Bantuan ini sangat penting bagi golongan B40 dan miskin tegar, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi yang kian mencabar.
Selain itu, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut diperkenalkan di mana setiap penerima mendapat RM100 kredit MyKad setiap bulan, khusus untuk membeli barang keperluan harian. Setakat Jun 2024, lebih 700,000 penerima telah menikmati manfaat ini.
Penerima STR, Nor Azizah yang merupakan seorang pembantu kantin sekolah bersyukur menerima bantuan daripada Kerajaan.
“Saya adalah seorang ibu tunggal yang baru kematian suami dan bantuan STR ini memang sangat diperlukan kerana ia membantu saya dari segi keperluan barang dapur dan keperluan asas.
“Saya berharap sangat bantuan ini dapat diteruskan dan jumlah bantuan itu dinaikkan agar dapat diberi seimbang berdasarkan ekonomi semasa yang semakin tinggi nilai ringgitnya,” ujarnya
Manakala, Yushazriq seorang perunding takaful berkata STR membantu dari segi memenuhi kekurangan yang dicukupkan seperti perbelanjaan barangan asas rumah, bil elektrik dan sebagainya.
Dia juga berharap bantuan STR dari kerajaan ini akan diteruskan bagi membantu isi rumah masyarakat kategori B40 dan diperbaik dari semasa ke semasa.
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) beri kelegaan kepada ibu bapa
Bagi keluarga yang menanggung anak bersekolah, Bantuan Awal Persekolahan juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM150 untuk setiap pelajar tanpa had pendapatan, membantu lebih 5 juta pelajar.
Ini memastikan bahawa golongan kurang berkemampuan tidak terbeban dengan kos permulaan sekolah. Bantuan tunai secara one off yang diberi awal tahun itu bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan murid.
Seorang suri rumah yang memiliki dua anak masih bersekolah, Salamia Binti Ladena mengatakan bahawa BAP yang diterima meringankannya dan suami untuk menyediakan barang keperluan sekolah anak mereka.
Tambahnya, dia dapat mengurangkan kos membeli barangan keperluan sekolah yang boleh dikatakn kosnya tinggi. Malah, Salamia berharap nilai bantuan dapat dinaikkan pada tahun hadapan.
Dengan peningkatan kos pendidikan dan keperluan sekolah, langkah ini terbukti sangat penting bagi mengurangkan beban kewangan ibu bapa, terutamanya bagi keluarga yang mempunyai anak bersekolah ramai.
Sejumlah RM788.13 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 bagi tujuan BAP yang disalurkan kepada lebih 5.25 juta murid.
Masa depan yang lebih terjamin
STR dan Bantuan Awal Persekolahan ini jelas memainkan peranan besar dalam membantu rakyat mengharungi cabaran ekonomi.
Bagi penerima STR, bantuan tunai dan kredit MyKad memastikan mereka mempunyai sumber yang cukup untuk memenuhi keperluan harian manakala Bantuan Awal Persekolahan membolehkan ibu bapa menyediakan keperluan pendidikan anak-anak mereka tanpa tekanan kewangan.
Melalui inisiatif seperti STR dan Bantuan Awal Persekolahan, Kerajaan berjaya melangkah ke hadapan dalam memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat peluang untuk hidup dengan lebih selesa.
Program-program ini bukan sahaja membantu dari segi kewangan tetapi juga memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan sentiasa komited dalam memperjuangkan nasib mereka terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
Dengan sokongan yang berterusan, inisiatif-inisiatif ini dijangka akan terus memberi impak yang positif kepada kehidupan rakyat pada masa akan datang.