Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi bayangan untuk ‘menyekat’ Stadium Nasional Bukit Jalil daripada penganjuran kejohanan peringkat Asia sehingga padang terbabit dibaikpulih.
Kecewa padang ‘rosak’
Memetik laporan Berita Harian, perkara itu disahkan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John yang mengakui kecewa dengan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang ‘rosak’ hanya selepas empat perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023.
Kita terkejut melihat keadaan padang dan takkan mahu menyalahkan hujan pula. Tuan punya tempat itu perlu lebih bersedia dan di sini bukannya Persatuan Bolasepak Malaysia(FAM) kena uruskan perkara itu.
Jadinya, kita agak kecewa dengan keadaan padang yang masih lagi tidak dibaikpulih malah menggunakan alat yang tidak sesuai pula untuk membuang air atas padang.
Saya fikir kalau keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil berterusan seperti ini, AFC tidak akan meluluskan lagi perlawanan di stadium berkenaan.
Terdahulu, hujan lebat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil sejak petang Sabtu, lalu ditakungi air. Situasi itu kemudian ‘diatasi’ petugas stadium dengan menggunakan penyodok dan kadbod sebelum aksi kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain.
Petugas stadium masih dilihat menolak air dengan gigih ketika jam menghampiri 8.40 malam, hanya 20 minit sebelum perlawanan berlangsung, seterusnya mengundang tawa netizen.
Sumber: Harian Metro