Tidak dapat dinafikan lakonan jejaka tampan sebagai Tengku Adam Kamil dalam drama bersiri fenomena ‘Ariana Rose’ ini memberi impak positif kepada perjalanan kariernya.
Bukan sahaja semakin popular di kalangan peminat baik di Malaysia mahupun Indonesia, malah para penerbit drama juga kini berlumba untuk mendapatkan khidmat lakonannya.
Namun, sekitar minggu lalu, timbul desas-desus tidak enak apabila Keith Foo didakwa meminta bayaran berjumlah RM20,000 untuk berlakon dalam sebuah telefilem.
Keith Foo sangkal dakwaan demand harga tinggi
Penerbit drama popular, Shahrul Ezad dikatakan berang apabila pelakon tersebut meminta bayaran yang dianggap tidak wajar dan turut menambah bahawa pelakon gred A yang memegang watak utama seperti Fasha Sandha juga hanya dibayar dengan harga tidak melebihi RM12,000.
Malah, lebih memburukkan keadaan, kenyataan yang dilakukan oleh Shahrul telah dibalas oleh penerbit lain yang berkata bahawa dia mampu membayar harga seperti yang diminta oleh Keith Foo.
Bagaimanapun, menerusi laporan Kosmo!, pelakon itu menyangkal dakwaan tersebut dan menganggap perkara ini adalah salah satu lumrah yang perlu diterima sebagai seorang artis.
“Tidak benar. Saya tidak pernah demand harga seperti itu. Siapa yang pernah bekerjasama dengan saya tahu sama ada saya jenis yang demand atau tidak.”
Dalam pada itu, Keith Foo turut memberitahu bahawa dia juga tidak pernah kenal dan berjumpa dengan Shahrul Ezad.
Kredit Foto: Instagram Keith Foo