Pelakon Riena Diana mendedahkan bahawa teman lelakinya yang juga seorang pelakon, Keith Foo kini sedang mendalami agama Islam sebagai persediaan sebelum melangkah ke fasa perkahwinan.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Riena Diana Masak Bekal Untuk Keith Foo, Netizen Komen Layak Dapat Hantaran RM30k

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Riena Diana ‘Throwback’ Lakonan Keith Foo Dalam Video Muzik – ‘Kau Propose Rossa Tapi Tak Propose Dekat Aku’

Keith Foo berhasrat peluk Islam

Ketika ditemui OhBulan!, Riena atau nama lengkapnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, berkata, Keith sememangnya sudah menyimpan hasrat untuk memeluk agama Islam. Namun begitu, mereka belum bersedia berkongsi dengan lanjut mengenai perkara tersebut.

Perkara ini memang dah lama kami berbincang cuma belum bersedia nak kongsikan lagi.

Keith sendiri yang cakap pada saya, dia nak memeluk agama Islam dan belajar tentang agama kemudian baru berkahwin.

Riena berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Anugerah Melodi Terhangat yang berlangsung di Petaling Jaya, pada malam Sabtu.

Mengulas lanjut, Riena menjelaskan bahawa mereka tidak mahu masyarakat membuat tanggapan bahawa Keith menukar agama semata-mata kerana ingin berkahwin.

Malah, pasangan ini turut mengambil pendekatan untuk tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan melibatkan perkahwinan.

Kami tak nak orang beranggapan Keith memeluk Islam hanya sebab nak berkahwin.

Kalau boleh, kami tak nak terburu-buru seperti hari ini masuk Islam, esok terus nikah.

‘Nama Islam tu memang dah ada’

Tambah pelakon drama Kampung People itu lagi, dia juga sudah menyediakan nama Islam untuk Keith sekiranya teman lelakinya itu mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam.

Untuk nama Islam tu memang dah ada. Keith bagi peluang kepada saya untuk pilih nama.

Tapi kami belum bersedia nak kongsikan lagi, tapi sudah semestinya itu berita baik.

Sementara itu, Keith atau nama penuhnya Foo Chuan Chin, 42, memaklumkan bahawa dirinya kini masih dalam proses mendalami ilmu agama dan meluahkan rasa syukur kerana menerima bimbingan serta tunjuk ajar daripada Riena sepanjang perjalanan tersebut.

Sebelum dengan Riena pun, saya sebenarnya memang dah membaca banyam tentang agama (Islam). Bila dengan Riena, dia banyak beri tunjuk ajar.’

Cuma kami tak nak berkongsi terlalu banyak, cuma doakan yang terbaik. Nantikan apa yang akan berlaku pada tahun depan, kita beri kejutan.