Kementerian Wilayah Persekutuan mengesahkan bahawa operasi sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur yang digantung sementara baru-baru ini telah beroperasi tanpa sebarang lesen hiburan.

Beroperasi tanpa lesen sejak 2014

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, lesen premis itu diluluskan pada 2018 hanya untuk operasi restoran dan jualan minuman keras sahaja.

Ia masih sah hingga kini namun premis tiada lesen hiburan, padahal pengusaha seumpama itu perlu ada lesen hiburan terlebih dahulu sebelum beroperasi.

Premis itu telah beroperasi tanpa lesen sejak 2014 hingga 2017, malah pengusaha juga gagal mematuhi pelbagai keperluan ditetapkan setiap kali permohonan dibuat.

Jalaluddin berkata demikian merujuk tindakan penggantungan sementara operasi kelab itu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ahad lalu.

Tambahnya, DBKL akan terus mempergiatkan operasi bagi mengekang aktiviti haram dan pelanggaran undang-undang di premis hiburan sekitar Kuala Lumpur.

Sumber: Facebook Jalaluddin Alias