Foto: Malaysia Gazette
Penahanan seorang lelaki ‘Abang Bas’ yang didakwa atas dua pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan secara tidak langsung menarik simpati ramai wargamaya.
Keluarga lancar sumbangan bantu Abang Bas
Terbaharu, keluarga kepada pemandu bas berkenaan bercadang untuk membuka tabung kutipan derma bagi mengumpul dana untuk membayar wang jaminan sebanyak RM30,000 yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah.
Difahamkan, kutipan dana tersebut perlu disalurkan menggunakan akaun AmBank milik kakaknya, Zarinah Sari.
Assalamualaikum saudara Islam yang banyak memberi sokongan dan maklum balas positif pada Abang Bas dan keluarga.
Sekali lagi kami merendah diri membuka tabung seikhlas hati atas dasar perikemanusiaan dan keharmonian, dari mata dan sisi Allah yang tidak pernah tidur untuk diri ini mendapatkan keyakinan.
Sementara itu, Zarinah berharap agar adik lelakinya itu diberi kekuatan dan ketabahan menempuhi dugaan tersebut.
Allah yang maha Mendengar dan maha Mengetahui, jika Allah berkehendakkan sesuatu itu terjadi maka terjadilah ia.
Ya allah, engkau berikan kekuatan kepada Abang Bas semoga dia berjaya menghadapi segala ujian dariMu.
Terima kasih warga media sosial yang banyak memberi nasihat, komen-komen positif, kata-kata semangat untuk membuka tabung ‘Abang Bas’ sebagai tiket saham akhirat mereka.
Terdahulu, ‘Abang Bas’ menangis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan melakukan amang seksual kanak-kanak, sejak April lalu.
Tertuduh yang berusia 24 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd. Nor.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Abdul Ghafar Ab. Latif mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan namun peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai gaji tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah.
Tambahnya lagi, jumlah jaminan adalah bertujuan bagi memastikan kehadiran dan tidak boleh keterlaluan sehingga membebankan tertuduh.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Sayani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.
Beliau kemudian menetapkan tarikh 10 Oktober ini untuk sebutan sebulan kes serta serahan dokumen.
Sumber: Facebook