berita

Kemaruk Cinta Suami Orang, Wanita Sanggup Tembak 3 Anak, Dakwa Diserang Penjenayah

November 6th, 2020 | by Zulaikha
Kini Trending

Kasih ibu membawa ke syurga kasih ayah sepanjang masa, itulah pepatah yang acap kali disebut bila menyentuh mengenai kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak mereka. Namun ini kisah yang berbeza terjadi di Amerika Syarikat, apabila seorang ibu sanggup merancang untuk membunuh anak-anaknya sendiri disebabkan ‘cinta’ yang tidak kesampaian.

Siapa Diane Downs?

Foto: Daily Mail

Diane Downs atau nama penuhnya Elizabeth Diane Frederickson Downs, dilahirkan pada 7 Ogos 1955 di Phoenix, Arizona. Dia merupakan anak sulung daripada empat adik beradik. Ibu bapanya yang dikenali sebagai Wes dan Willadene, sejak kecil lagi mereka telah dididik untuk patuh akan setiap peraturan. Namun, memasuki fasa remaja Diane mula mengenali erti ‘dunia’ yang sebenar dan mula bercinta. Tetapi setiap apa yang dilakukan oleh Diane mendapat tentangan yang hebat daripada kedua ibu bapanya.

Selepas tamat sekolah menengah Diane dan Steven (teman lelakinya) mengikuti kelas di Pacific Coast Baptist Bible College. Namun, Diane gagal dipertengahan jalan dan tidak mampu menyambung pelajaran di situ. Cinta mereka tidak berakhir di situ, apabila Diane dan Steven berkahwin pada bulan November 1973, namun percintaan mereka tidak berpanjangan dan akhirnya mereka mengambil keputusan untuk bercerai. Hasil perkahwinan pasangan ini, mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang dikenali sebagai Christie. Pada tahun 1975, Diane sekali lagi melahirkan anak keduanya iaitu Cheryl Lynn.

Pada tahun 1978, Diane berpindah ke Mesa, Arizona kerana mendapat tawaran kerja yang lebih baik. Di situ bermulalah episod dia menjalinkan hubungan dengan beberapa rakan sekerja lelaki sebelum dia disahkan hamil. Pada Disember 1979, Stephen Daniel dilahirkan oleh Diane, walaupun itu bukan anak sah kepada Steven, tapi dia tetap menerimanya dengan baik. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk bercerai pada tahun 1980.

Setelah bercerai, Diane pernah mengenali beberapa lelaki bagi menggantikan ayah kepada anak-anaknya. Sehinggalah satu hari, dia berjumpa dengan rakan sekerja yang dikenali sebagai Robert Knickerbocker (Nick) yang merupakan lelaki idamannya selama ini. Namun, Diane ketika itu mendesak Nick untuk menceraikan isterinya sebelum mereka berdua berkahwin. Tetapi, Nick ketika itu tidak menceraikan isterinya kerana dia masih cintakan akan isterinya. Diane ketika itu seolah-olah tidak dapat menerima hakikat mereka tidak dapat berkahwin.

Nick ketika itu sempat memberikan sepucuk surat kepada Diane pada April 1983 di mana dia menolak sepenuhnya hasrat untuk mereka berkahwin.

 Saya tidak berminat untuk ‘menjadi ayah’ kepada anak-anak awak.

Hasil surat tersebut, bermulalah segala perancangan Diane.

Tiba-tiba diserang

Foto: Jack Lester

Sebulan setelah menerima surat tolakan cinta tersebut, pada 19 Mei 1983, sekitar jam 10 malam Diane bersama tiga anaknya tiba di hospital McKenzie-Willamette. Mereka ketika itu dalam keadaan berlumuran darah datang untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Namun, anak keduanya Cheryl yang berusia tujuh tahun telah disahkan meninggal dunia. Manakala, dua orang lagi anak Diane iaitu Christie, 8 tahun dan Daniel, 3 tahun cedera parah. Diane ketika itu hanya mengalami kecederaan pada bahagian lengan kirinya. Pelik kan?

Hasil keterangan Diane, dia menceritakan bahawa mereka semua telah menjadi mangsa serangan tembakan. Kejadian tersebut berlaku apabila Diane memberhentikan kereta yang sedang dipandunya untuk memberi tumpang kepada seseorang lelaki yang tidak dikenali. Lelaki itu kemudian bertindak untuk merampas kereta yang dipandunya, tetapi lelaki itu berjaya dihalang oleh Diane.

Sebelum sempat Diane melarikan diri, lelaki tersebut berjaya melepaskan tiga das tembakan ke arah anaknya yang berada di tempat duduk belakang kereta. Diane ketika itu turut terkena tembakan lelaki itu pada lengan kirinya. Nasib menyebelahi mereka apabila Diane berjaya melepaskan diri lalu terus memecut keretanya untuk pergi ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Hasil soal siasat, pihak polis serta kakitangan hospital mendapati keterangan yang diberikan oleh Diane agak meragukan. Hal ini demikian kerana, Diane ketika itu begitu tenang dan tidak trauma sewaktu menceritkan segala-galanya. Aksinya ketika itu cukup meragukan kerana dia juga tidak sedih mahupun sedang meratapi kesedihan kematian anaknya. Anak-anaknya turut disisihkan olehnya. Ketika itu, dia sempat menghubungi seorang lelaki, malangnya lelaki itu bukanlah bekas suaminya tetapi Nick (lelaki yang telah menolak cintanya).

Hasil siasatan

Gambar sekadar hiasan

Menerusi siasatan pihak polis mendapati begitu banyak lompong dalam keterangan yang diberikan oleh Diane. Ini termasuklah bukti forensik di dalam kereta Diane yang bercanggah dengan apa yang diceritakan. Tambahan pula, Diane sempat untuk membalut luka di tangan kirinya sebelum tiba di hospital. Pelik kan?

Tidak berakhir di situ, pihak polis semakin curiga apabila mereka telah menerima maklumat tentang pistol yang digunakan untuk menembak Christie, Cheryl dan Danial adalah pistol yang sama dengan pistol milik Diane. Terdapat seorang saksi tampil memberi keterangan dan menyatakan dia ternampak kereta yang dipandu oleh Diane ketika malam itu begitu perlahan. Keterangan tersebut sangat bertentangan dengan apa yang diceritakan oleh Diane yang bertindak memecut keretanya setelah ditembak lelaki tidak dikenali.

Segalanya terbongkar

Foto: The Famous People

Segala motif perancangan pembunuhan anak-anakya terbongkar apabila pihak polis berjaya menjumpai diari Diane di rumahnya. Menerusi diari tersebut jelas Diane ‘kemaruk’ dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Nick. Ketika malam kejadian, Nick telah dihubungi oleh Diane bagi menceritakan apa yang telah terjadi kepada mereka sekeluarga. Namun, Nick ketika itu seolah-olah tidak berminat untuk mendengar kisah ‘sedih’ yang menimpa Diane bersama anak-anaknya.

Alasan utama Nick tidak mahu berkahwin dengan Diane, adalah dia tidak mahu menjaga dan membesarkan anak-anak Diane hasil perkahwinannya bersama Steven. Insiden tembakan itu telah menyebabkan Cheryl meninggal dunia, Christie koma dalam keadaan strok manakala Daniel telah lumpuh separuh badan. Kemuncak kisah kejahatan Diane dikenal pasti, apabila Christie yang tersedar dari komanya dan menceritakan apa yang telah terjadi. Jelas Christie, lelaki jahat yang diceritakan oleh Diane sama sekali tidak wujud dan ia hanyalah rekaan semata-mata dan turut menceritakan bahawa ibunya adalah pembunuh yang sebenar.

Akhirnya Diane telah ditahan pada 28 Februari 1984, iaitu sembilan bulan selepas insiden hitam itu terjadi. Dia turut didakwa atas kesalahan membunuh, percubaan membunuh dan serangan jenayah terhadap anak-anaknya. Pihak mahkamah telah menjatuhkan hukuman seumur hidup dan ditambah 50 tahun penjara kepada Diane. Namun, selepas tiga tahun dipenjarakan dia sempat melarikan diri, tetapi berjaya diberkas semula oleh pihak polis selepas seminggu berjaya meloloskan diri.

Susulan kejadian dia melarikan diri, dia telah dipindahkan ke penjara yang lebih ketat kawalannya. Anak-anaknya Chirtie dan Danny telah diambil dijadikan anak angkat oleh seorang pendakawa raya yang terlibat dengan kes terbabit.

Kisah dibukukan

Kisah Diane Downs telah diceritakan semula menerusi dua buku yang bertajuk Best Kept Secrets dan The True Story of Diane Dawns bagi memberi pengajaran kepada orang ramai akan kekejaman yang dilakukan oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Diane Downs.

Sumber: ThoughtCo , Jack Lester The Famous People

SKIP THIS AD ×