berita

“Kematian Yang Menghidupkan” – Nurkilan Pilu Rakyat Marhaen ‘Pemergian’ Almarhum Tunku Jalil

December 6th, 2015 | by Ash Nordin
Kini Trending

Screen Shot 2015-12-06 at 12.24.58

Setelah setahun lebih melawan penyakit kanser hati yang dihidapinya, amat mendukacitakan apabila Tunku Laksamana Johor, Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim menghembuskan nafas terakhirnya sekitar 7.00 petang semalam.

Permergiannya itu membuatkan salah seorang rakyat marhaen ini menzahirkan rasa pilu yang membuatkan kami juga turut merasa sebak apabila membacanya.

Merafak sembah takziah atas kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Y.A.M. Tunku Abd Jalil Sultan Ibrahim. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Kematian yang menghidupkan.

Screen Shot 2015-12-06 at 12.26.23

Saya langsung tidak mengenali Almarhum YAM Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor tersebut.

Pertama kali nama itu disebut apabila terbit dari mulut ayahandanya sendiri ketika kami berdua melihat album keluarga melalui ipad di Hotel Dar Tawhid Intecontinental, Makkah suatu masa dahulu. Ketika itu, saya bertugas menjaga rombongan Tuanku. Saya dapat merasakan betapa bangganya Tuanku menceritakan kisah anak baginda dan perjalanan yang dilalui oleh mereka dalam era pembentukan menjadi seorang pemimpin.

Baginda menunjukkan gambar TMJ yang sedang menjalani latihan ketenteraan, menceritakan perihal anak-anak baginda. Lalu, terpacul sebuah nama yang saya hampir-hampir lupa.

Kekuatan melawan penyakit, ketabahan serta kecekalan hatinya telah menjadi inspirasi buat jutaan manusia di luar sana.

Screen Shot 2015-12-06 at 12.27.09

YAM Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Tidak banyak kisah yang saya tahu mengenai beliau. Hanya, kisah kekuatan melawan penyakit, ketabahan serta kecekalan hatinya telah menjadi inspirasi buat jutaan manusia di luar sana.

Mendapat berita kemangkatan beliau pada hari ini menyebabkan jiwa saya sugul dan sebak. Terpalit rasa sedih yang melingkari perasaan. Entahlah. Saya tidak mengerti. Padahal bukan kena-mengena pertalian apa pun dengan saya selain sesama manusia sahaja.

Apabila disoroti lantas saya menyedari bahawa saya telah melihat sebuah kisah sayang seorang ayah kepada anaknya yang melebihi segala-galanya. Baginda telah berusaha dengan pelbagai cara untuk memberikan kebahagiaan kepada anaknya. Baginda Tuanku mahukan anaknya mendapat rawatan yang terbaik demi kesihatan dan kesembuhan dari penyakit yang dialaminya.

Sesungguhnya Allah lebih menyayangimu.. Mungkin kita tidak pernah bersua, ketabahan Tunku mencetuskan inspirasi.

Screen Shot 2015-12-06 at 12.24.58

Sungguh indah kasih sayang yang ditonjolkan dan ditunjukkan. Betapa besar pengorbanan seorang ayah terhadap anaknya itu. Saya menginsafi contoh ini dan merenung kembali diri dan keluarga saya. Mengenang kembali usaha ayah dalam memberikan kami sebuah kehidupan dan kesejahteraan tanpa perlu kami bersusah-payah melalui penderitaan. Terima kasih ayah untuk segala-galanya. Doaku buat dirimu. Jasamu terlalu besar buat kami. Tidak mampu dibalas.

Kematian itu sememangnya mengejutkan. Mendukakan. Memisahkan seorang insan. Menjarakkan antara dunia dan akhirat. Melukakan perasaan. Menambat kepiluan. Ia adalah hakikat sebuah permulaan di mana penghujungnya adalah pengakhiran. Itu janji Allah kepada kita.

Buat Almarhum YAM Tunku Abdul Jalil sesungguhnya Allah lebih menyayangimu. Semoga dirahmati Allah dan termasuk di dalam golongan yang muqarrabin. Mungkin kita tidak pernah bersua, namun berita ketabahan Tunku telah tiba pada pengetahuan kami dan mencetuskan inspirasi. Patik doakan ketenangan buatmu.

Allahummaghfirlahu warhamhu waafihi wa’fuanhu

*Gambar foto DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar ayahanda kepada Almarhum YAM Tunku Abdul Jalil yang dipotret oleh saya.

ikhlas,
Lutfi Lokman
5 Disember 2015
Tebrau, Johor Bahru.

Sumber : Facebook Lutfi Lokman

 

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×