Selepas dilancarkan pada Oktober lalu, Proton X50 terus menjadi bualan hangat peminat automotif negara. Sehingga November, lebih 27 ribu tempahan telah diterima Proton bagi model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak itu.
Jumlah tempahan tinggi diterima untuk model Proton X50 ini secara tidak langsung membuatkan Perodua ‘iri hati’ dan menurut info model SUV Perodua D55L bakal dilancarkan awal tahun depan. Pasti ramai yang dah tak sabar kan?
Teratas di Jepun
Terbaru, menurut rekod jualan Japan Automobile Dealers Association (JADA), rekod jualan kenderaan baru bagi tahun 2020 menyaksikan Toyota Raize, kereta asas bagi Perodua D55L menduduki carta teratas kereta paling laris bersama dengan Toyota Harrier! Adakah perkara yang sama bakal berlaku kepada model Perodua D55L di Malaysia nanti?
Raize merekodkan jualan 10,627 unit manakala Harrier pula terjual laris dengan 9,897 unit dalam bulan November. Untuk pengetahuan, Perodua D55L berkongsi platform yang serupa dengan Daihatsu Rocky/Toyota Raize iaitu platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture).
Bakal lancar tahun depan
Kembarnya, Daihatsu Rocky, hanya berjaya merekodkan jumlah jualan sebanyak 1,400 unit. Ini samada lencana Toyota lebih popular ataupun disebabkan faktor harga dimana Rocky lebih mahal berbanding Raize.
Harga Daihatsu Rocky di Jepun bermula dari JPY 1.705 juta bersamaan dengan RM68 ribu manakala Toyota Raize bermula dari JPY 1.679 juta bersamaan RM65 ribu.
Bulan lalu media melaporkan ‘kelibat’ Perodua D55L yang masih sarat dengan pelekat samaran dikesan berada di luar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya di atas trailer. Menurut info, model SUV tersebut bakal dilancarkan awal tahun hadapan. Dikhabarkan fasa pra-pengeluaran model ini akan bermula pada pertengahan September, manakala pengeluaran massanya pula menyusul tiga bulan kemudian (Disember 2020).
Mampukah Perodua D55L menyaingi kereta lagenda negara, Myvi kelak? Menarik untuk disaksikan!