berita

Kementerian Kewangan Saran Lupus Faedah Terakru Moratorium, Sedia Bekerjasama Dengan BNM

May 2nd, 2020 | by Arini Saleh
Kini Trending

Dalam usaha mengurangkan beban yang ditanggung rakyat, kerajaan telah menawarkan tangguhan bayaran pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap untuk tempoh enam bulan. Walaubagaimanapun, wujud kekeliruan mengenai kadar faedah dan perkara tersebut telah dijelaskan Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menerusi status di Facebooknya hari ini menyarankan semua institusi kewangan yang terlibat dengan moratorium untuk mempertimbangkan semula kadar faedah terakru.

Saranan melupuskan faedah terakru – Menteri Kewangan

Saranan Melupuskan Faedah Terakru atas Pinjaman Sewa Beli dan atas Keuntungan Pembiayaan Islam Kadar Tetap

Didoakan Saudara dan Saudari berada di dalam keadaan sihat bersama keluarga.

Baru-baru ini berlaku kekeliruan umum berkenaan kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan berkaitan skim moratorium (penangguhan) 6 bulan bayaran balik pinjaman sewa beli yang ditawarkan oleh institusi kewangan.

Antara punca kekeliruan ini disebabkan pelbagai sumber yang membawa maklumat kurang tepat. Sehubungan dengan itu, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Mei 2020 telahpun menerbitkan di laman web BNM sebuah dokumen ‘Soalan Lazim (FAQs) Mengenai Pengendalian Moratorium bagi Pinjaman Sewa Beli dan Pembiayaan Islam Berkadar Tetap’ yang telah dikemaskini. BNM juga telah membuat sidang media untuk memperjelaskan lagi kekeliruan yang dihadapi peminjam.

Sejak kebelakangan ini, media massa dan netizen banyak menimbulkan persoalan mengenai isu ini. Untuk makluman saudara saudari, memang terdapat bank yang menawarkan moratorium pinjaman tanpa mengenakan faedah terakru (accrued interest) atau faedah dikompaun (compounded interest) atas pinjaman. Namun yang demikian, ia tidaklah merangkumi semua produk pinjaman. Setiap bank pula ambil pendekatan tersendiri dalam hal mengenakan faedah sewaktu tempoh moratorium.

Bersedia untuk bekerjasama

Mengambil kira terdapat kemungkinan ia dapat dilaksanakan dan setelah mendengar permintaan rakyat, saya ingin menyarankan agar semua institusi kewangan khususnya yang terlibat dalam moratorium ini untuk mempertimbangkan supaya faedah terakru (bagi pinjaman sewa beli) atau keuntungan (bagi pembiayaan Islam berkadar tetap) dilupuskan sewaktu tempoh 6 bulan moratorium.

Menurut Akta Bank Negara 2009, isu ini berada di bawah bidang kuasa BNM. Namun yang demikian, Kementerian Kewangan telah memulakan langkah proaktif mencari penyelesaian kemelut ini melalui perbincangan bersama BNM dan bank-bank untuk membuat keputusan yang tepat mengikut keperluan rakyat.

Kami di Kementerian Kewangan bersedia untuk bekerjasama dengan BNM dan sektor perbankan bagi memastikan pelaksanaan saranan ini. Kerajaan sentiasa peka kepada cetusan hati nurani rakyat, terutamanya dari golongan B40 dan M40, dan mengambil berat perkara ini. Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar disebabkan oleh wabak COVID-19, saya amat berharap pandangan ini dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh BNM dan juga institusi-institusi kewangan dalam negara.

Saya yakin langkah ini akan dapat memberi impak positif kepada rakyat kita.

Tengku Zafrul Aziz

Sumber : Tengku Zafrul

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×