Negara kita pernah digemparkan dengan satu tragedi hitam, seorang lelaki ditelan ular Sawa pada tahun 1995, iaitu kira-kira 25 tahun yang lepas. Kejadian tersebut berlaku di Segamat, Johor.
Kejadian tragis ini melibatkan E Heng Chuan, yang menjadi mangsa kepada ular Sawa sepanjang 6.3 meter dengan berat 140 kilogram yang menelan kepala mangsa dan hampir berjaya menelan separuh sebahagian badan mangsa.
Pergi tutup suis generator kolam
Menurut sumber, sebelum kejadian itu berlaku, E Heng dipercayai berjalan berseorangan menuju ke bangsal berhampiran rumahnya bagi menutup suis generator air kolam kira-kira jam 8 malam.
Namun, nasib tidak menyebelahi E Heng apabila dia diserang ular sawa yang bertindak mengigit dan membelitnya sebelum bertindak menelannya.
Keadaan bangsal yang semak sebelum ini bertukar menjadi lapang dan ia dipercayai berlaku pergelutan antara E Heng dengan ular tersebut sebelum dia mati di tempat kejadian.
Dijumpai abang
E Seng, 32 yang merupakan abang kandung kepada E Heng menyedari kehilangan adiknya selepas 30 minit adiknya tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk menutup suis generator kolam. E Seng mula mencari adiknya di kawasan tersebut pada pukul 8:30 malam tetapi tidak memberi sebarang petunjuk.
Namun, E Seng masih tidak berputus asa untuk mencari adiknya. Alangkah terkejutnya E Seng apabila sampai ke tempat tersebut untuk kali kedua apabila terjumpa seekor ular Sawa yang sedang membelit dan cuba menelan adiknya dari bahagian kepala. Dia tergamam dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana masih terkejut dengan apa yang terjadi di hadapannya.
Tanpa membuang masa E Seng terus pulang ke rumah untuk memberitahu apa yang terjadi kepada adiknya dan terus membuat laporan polis di pondok polis Pekan Tenang Stesen untuk bantuan lanjut.
Ditembak polis
Pihak Polis yang menerima maklumat mengenai kejadian yang berlaku pada masa itu tidak mempunyai gambaran yang jelas mengenai kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi. Pada mulanya, pihak polis tidak begitu percaya dengan keterangan yang diberikan oleh E Heng bahawa adiknya telah ditelan ular tersebut dan menyangka ular tersebut hanya membelit mangsa.
Tanpa membuang masa, 5 anggota polis bergegas ke tempat kejadian bersama dengan seorang penduduk kampung dengan berbekalkan lampu picit dan senjata M16.
Setibanya di tempat kejadian, Lans Koperal Razib, 30, menceritakan bunyi ular sawa itu yang amat menggerunkan ketika hendak menelan mangsa. Ular Sawa itu berbunyi seperti menyedut, dan turut kedengaran bunyi seolah-olah ular tersebut menghembuskan nafasnya.
Razib turut menggambarkan ular tersebut seperti menggeleng seperti mahu memastikan seluruh kepala dan badannya berjaya masuk kemulutnya. Empat das tembakan dilepaskan untuk membunuh ular tersebut demi menyelamatkan mangsa, namun E Heng dipercayai mati ditempat kejadian kerana terlalu lama dijerut oleh ular tersebut.
Mangsa dibawa ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat manakala bangkai ular Sawa itu dibawa ke pondok polis Tenang Stesen.
Faktor ular menyerang
Terdapat dua faktor utama yang menyebabkan ular Sawa bersifat agresif kepada manusia sama ada lapar ataupun diganggu. Faktor ini menyebabkan ular tersebut bertindak agresif dan bertindak untuk menyerang mangsanya.
Tengkorak dan kulit ular masih disimpan
Menurut info daripada Jabatan Perhilitan tengkorak dan kulit ular Sawa yang membaham E Heng masih disimpan di Institut Biodiversiti (IBD) Jabatan Perhilitan yang terletak di Lanchang, Pahang.
Tragedi yang berlaku ini secara tidak langsung memberi pengalaman pahit kepada penduduk Segamat kerana risau akan keselamatan mereka dan khuatir peristiwa tersebut akan berulang kembali.
Sumber: Jabatan Perhilitan , My News & My InfoMalaya