Pelakon Arena Wan, mendedahkan bapanya, komposer dan penerbit terkenal, Iman Wan Tuck Meng berpandangan bahawa dirinya belum bersedia menjayakan naskhah teater.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Arena Wan Dikritik Berlakon ‘Kayu’, Hampir Putus Asa Dalam Industri Seni – ‘Saya Koyak’

Arena bukti kemampuan diri

Ketika ditemui OhBulan!, Arena, 27, berkata, bapanya meragui kemampuannya, namun selepas dipilih sebagai salah seorang barisan pelakon bagi teater muzikal Mansur & Liu, ia telah membuktikan kesungguhannya dalam bidang ini.

Dia (bapa) tahu saya pergi uji bakat, tetapi dia tidak percaya saya akan dapat. Bapa saya cuma cakap, ‘semoga berjaya’.

Tapi, dia tahu teater ini susah. Tambah pula, anak dia ini bukanlah penyanyi.

Bagi dia, mungkin saya ini masih belum bersedia. Saya tidak tahu, tapi mungkin sebab dia melihat saya sebagai anak dia.

Jadi, dia memang terus terang beritahu yang saya ini belum bersedia.

Menurut Arena, bapanya mempunyai pandangan sedemikian sejak dia masih bersekolah lagi dan pernah melarang untuk meneruskan kerjaya dalam bidang muzik.

Bagaimanapun, Arena percaya tindakan bapanya itu adalah berdasarkan pengalamannya yang telah lama dilalui dalam bidang seni.

Saya sudah 27 tahun, jadi bila saya hendak dianggap sudah bersedia? Dia cakap perkara sama sejak saya masih bersekolah.

Ketika saya pertama kali mendapat tawaran untuk menghasilkan single pertama, iaitu lagu untuk runut bunyi drama, dia juga tidak benarkan dan melarang saya.

Alasannya, nanti orang akan gunakan saya, ambil kesempatan dan sebagainya. Namun, saya pun beri dia peluang untuk dipercayai sebab dia pernah bekerja dalam industri muzik.

Dia sudah berjumpa dengan pelbagai jenis orang, pernah melalui macam-macam pengalaman dan mungkin dia lebih tahu.

Arena berkata demikian ketika ditemui pada sidang media teater Mansur & Liu di Istana Budaya, baru-baru ini.

Tambah bekas finalis Dewi Remaja edisi 2018/2019 itu lagi, ketika awal pembabitan dalam industri ini, dia tidak mendapat galakkan daripada ibu bapa.

Bagaimanapun, Arena nekad untuk tetap meneruskan kerjaya ini dan akan membuktikan bahawa dia mampu menjadi seorang anak seni yang versatil.

Lakonan pula, saya belajar sendiri sejak awal dan ibu bapa saya sebenarnya tidak benarkan saya masuk industri ini dari awal. Saya tetap masuk juga. Saya degil, memberontak dan buat sahaja.

Dewi Remaja pun sebenarnya mereka tidak mahu saya sertai pada awalnya, tetapi saya tetap pergi.

Sebenarnya, mereka tahu saya bergelut pada awal pembabitan dalam lakonan. Cuma mungkin mereka rasa ini adalah perjalanan yang perlu saya lalui.

Perkara itu yang membuatkan saya menjadi lebih kuat.