Terpaksa melupakan hasrat beraya gara-gara kereta bapanya dicuri, Shila Amzah mengakui masih mengingati pengalaman tersebut sehingga ke hari ini. Masih segar dengan kemenangan Pelukan Angkasa di Anugerah Juara Lagu ke-36 tempoh hari, Shila sempat berkongsi pengalaman raya yang tidak dapat dilupakan bersama Ohbulan!
Kereta kena curi
Seronok mengimbau kenangan kanak-kanak, Shila mendedahkan dia pernah merasai pengalaman tidak beraya gara-gara kereta bapanya, ND Lala telah dicuri. Biarpun sudah 20 tahun berlalu, kejadian ketika dirinya berusia 12 tahun itu masih mekar di ingatan.
Ceritanya, pada tahun 2002 telah berlaku kegawatan ekonomi dan dia sekeluarga terjejas sumber pendapatan sehinggakan tidak ada wang untuk pulang raya di kampung.
Masa itu kegawatan ekonomi berlaku. Kereta abah baru beli tiga bulan kena curi depan rumah. Saya ingat lagi baru pertama kali hantar servis, terus hilang selepas itu.
Ketika itu mak saya beritahu keluarga dia yang kami balik Ipoh (kampung abah). Tetapi abah pula, cakap balik Banting (kampung mak).
Tak ada duit nak raya
Pemilik nama Nur Shahila Amir Amzah mendedahkan akibat tidak pulang beraya mereka sekeluarga terpaksa ‘bersembunyi’ di dalam rumah.
Akui sedih mengenang nasib keluarga ketika itu, pelantun lagu Patah Seribu hanya mampu melihat dari jauh orang lain beraya dengan perasaan gembira.
Realitinya kami hanya duduk dalam rumah. Kami tak ada duit nak sambut raya. Jadi masa itu, kami tutup langsir biar gelap seolah tidak ada penghuni di dalam.
Masa itu sangat sedih. Hari raya pertama kan selalunya kita sakan beraya. Bila tengok kat media sosial, orang lain seronok meraikan dengan keluarga tetapi kami terpaksa tipu sebab tak ada duit.
Sekadar info, ND Lala berkahwin dengan wanita bernama Fauziah Sarman pada tahun 1989. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Nur Syuhada.
Sumber: Instagram @shahilaamzah