berita

Kereta Terlibat Dalam Kemalangan, Suami Isteri Lari Tinggal Mayat Anak Tengah Jalan

June 29th, 2022 | by Shahira
Kini Trending

Sepasang suami isteri tergamak meninggalkan mayat anak lelaki mereka selepas ketiga-tiganya terlibat dalam kemalangan di Jalan Sungai Kelamah-Jelai-Gemas malam kelmarin.

Tinggal mayat anak lepas kemalangan

Memetik laporan Free Malaysia Today, pasangan suami isteri itu dikatakan cemas selepas kenderaan mereka yang disyaki membawa dadah terbabit dalam kemalangan jalan raya. Susulan daripada itu, mereka yang berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an itu bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik pengguna jalan raya lain yang berhenti untuk membantu keluarga terbabit.

Menurut Ketua Polis Tampin iaitu Anuwal Ab Wahab, kemalangan itu berlaku ketika pasangan terbabit bersama anak lelaki berusia dua tahun dalam perjalanan dari Felda Jelai ke Felda Bukit Jalor. Setibanya di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu suspek lelaki cuba memotong sebuah lori namun ia gagal dikawal lalu terbabas ke kanan jalan.

Kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum bergesel dengan sebuah lori. Akibat kemalangan itu, kedua-dua penumpang kereta tercampak keluar. Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tercampak di tengah-tengah jalan raya, kemudian digilis sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.

Pasangan terbabit kemudian berjaya ditahan di rumah mereka di Felda Bukit Jalor dan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan yang dipandu lelaki berkenaan telah menemui dadah. Berikutan daripada itu, polis membuka tiga kertas siasatan iaitu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1985.

Sumber: Free Malaysia Today

SKIP THIS AD ×