berita

Kes Harian Meningkat, AME2021 Ditangguh Dalam Tempoh 24 Jam

January 29th, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Malam berprestij Anugerah Meletop Era 2021 (AME2021) yang sepatutnya berlangsung pada esok hari (30 Januari) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ditangguhkan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Tangguh ke satu tarikh baru

Menerusi kenyataan yang dikongsikan di Instagram MeleTOP, AME2021 ditangguhkan kepada satu tarikh baru yang akan diberitahu kelak.

Melihat pada jumlah kes harian COVID-19 yang semakin meningkat, Astro sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab, dengan berat hatinya mengumumkan bahawa kami mengambil keputusan untuk menangguhkan penganjuran Anugerah Meletop ERA 2021 (AME2021) yang dirancang pada 30hb Januari 2022, ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Astro sentiasa menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan setiap mereka yang terlibat dengan mana-mana produksi terbitan kami.

Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang telah ditetapkan pihak berwajib sentiasa menjadi keutamaan kami.

Tak ingin ambil risiko

Selain itu, stesen televisyen tersebut menekankan pemeriksaan pra kesihatan telah dilakukan kepada setiap individu yang bakal menghadiri AME2021.

Sebelum acara berlangsung, berdasarkan pemeriksaan pra saringan kesihatan ke atas kesemua yang bakal menyertai produksi AME2021, sejumlah individu telah dikenal pasti perlu dikecualikan, termasuk mereka yang harus menjalani proses kuarantin kendiri dalam tempoh waktu seperti yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Walaupun mereka telah dikesan lebih awal dan tidak dibenarkan masuk ke lokasi rakaman AME2021, kami tetap mengambil langkah lebih berjaga-jaga, dan tidak ingin mengambil sebarang risiko berkenaan dengan keselamatan mana-mana pihak memandangkan statistik harian semakin meningkat.

Bagaimanapun, dengan rasa tanggungjawab, MeleTOP memohon maaf kepada semua yang terlibat kerana telah berlaku kejadian yang tidak diduga di saat akhir.

Justeru, kami dengan ini ingin memohon maaf kepada semua yang terlibat terutamanya barisan artis, para penaja, rakan-rakan niaga, penonton khususnya pengundi dan kru produksi di atas kejadian yang tidak diduga dan di luar kawalan kami ini.

Sekali lagi, ingin ditekankan di sini bahawa keputusan ini telah diambil kerana keselamatan mereka yang terlibat sentiasa menjadi keutamaan kami.

Terima kasih di atas sokongan anda. Kami akan memantau situasi semasa dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan kelak.

Sumber: @meletop

SKIP THIS AD ×