berita

Kes Keracunan Cecair Rokok Elektronik Dalam Kalangan Kanak-Kanak Berusia 1 Hingga 4 Tahun Dilapor Makin Meningkat

September 21st, 2022 | by Nurul
Kini Trending

Sejak akhir-akhir ini, kes keracunan cecair rokok elektronik atau vape dalam kalangan kanak-kanak yang berusia satu hingga empat tahun makin membimbangkan.

Sejak tahun 2019, Pusat Racun Negara (PRN) di Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima banyak panggilan berhubung kes ini yang membabitkan kanak-kanak berusia satu tahun menggunakan vape dalam bentuk Pod yang mengandungi nikotin pada kepekatan tinggi.

Lebih mengejutkan, PRN turut mendedahkan bahawa mereka turut menerima kes membabitkan pesakit paling muda yang berusia tiga bulan!

Talian Kecemasan Keracunan PRN rekodkan peningkatan ketara dalam panggilan kes berkaitan vape

Kredit: Kosmo Digital (IQBAL HAMDAN Pemberita/Noor Hasliza Nusi, Safina Ramli)

Untuk pengetahuan korang, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, Talian Kecemasan Keracunan PRN telah menerima sebanyak 57 panggilan berkaitan kes keracunan rokok elektronik daripada hospital di seluruh negara ke Pusat Racun Negara yang mula diterima semenjak tahun 2015.

Ini termasuklah kes yang membabitkan kanak-kanak berusia satu (1) tahun menggunakan vape dalam bentuk Pod yang mengandungi nikotin pada kepekatan tinggi dan kebanyakan dari kes-kes keracunan yang membabitkan kanak-kanak adalah berpunca daripada terminum cecair isian semula vape yang diletakkan ditempat yang mudah dicapai mereka.

Menurut Ketua Pegawai Farmasi PRN, Puan Sulastri Samsudin, selain mudah dicapai, produk vape juga sangat mudah didapati memandangkan ia boleh dibeli secara dalam talian tanpa kawalan dan didatangkan dalam bentuk lebih menarik, kecil dan unik.

Kandungan cecair dalam vape yang tidak dapat dikenal pasti beri kesan negatif

Menurut Pegawai Sains, Dr Normaliza Abdul Manaf, dalam kebanyakan kes yang membabitkan pendedahan vape, terdapat kandungan cecair yang tidak dapat dikenal pasti selain bahan asas yang terdapat pada label iaitu propilena glikol, gliserin dan bahan perisa.

“PRNLab pernah menerima sebanyak 11 sampel cecair dari KKM susulan penemuan kemungkinan kes EVALI dan keputusan analisa makmal mendapati kesemua sampel mengandungi propilena glikol, gliserol dan nikotin selain beberapa daripadanya mengandungi bahan perisa seperti vanillin, ethyl vanillin, ethyl maltol dan benzyl alkohol”, tambahnya.

Lebih membimbangkan, kesan sampingan terhadap semua bahan yang dikesan dalam cecair vape ternyata banyak mendatangkan kesan negatif kepada tubuh terutama paru-paru dan ramai yang telah menderita akibat penggunaan vape. 

“Sakitnya tak boleh digambarkan”

Mula menggunakan vape dengan tujuan untuk berhenti merokok, Muhammad Faizin Bin Azmi, 24 tahun, tidak menyangka tabiat ini mengakibatkannya kini menderita pneumothorax (paru-paru bocor mengejut) sehingga dadanya perlu ditebuk untuk dimasukkan tiub. 

“Vape ini memang buatkan kita berhenti merokok, tapi beri kesan sampingan lain. Saya memang tak lekang dengan pod vape, bangun pagi je cari vape, lagipun vape ini senang, dekat mana-mana kita boleh menghisap, dalam bilik pun boleh sebab dia bau wangi kan. 

“Masa tu tak fikir pun kesan sampingan. Bila dah kena pneumothorax ni, sebulan saya duduk di Hospital Serdang tu, memang betul-betul insaf. Tak rasa dah nak merokok atau main asap (vape),”katanya. 

Faizin berkata, sakit apabila dada ditebuk tak boleh digambarkan dan beliau sentiasa berada dalam keadaan yang tidak selesa serta rasa menyucuk dan berdenyut apabila bergerak.

Beliau juga perlu menjalani dua kali pembedahan untuk memasukkan tiub ke dada dan kini perlu bergantung pada chest drain.

“Jadi beringatlah, jangan ikut trend dan nampak vape ini cool. Tak perlu nak ikut kawan atau saja nak main asap untuk nampak cool, dah kena tebuk nanti baru tau cool atau tidak,” tambahnya. 

SKIP THIS AD ×