Pempengaruh TikTok dari Indonesia, Line Mukherjee dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun oleh sebuah mahkamah di sana selepas memuat naik video mempersendakan agama beberapa bulan yang lalu.
Artikel Berkaitan: Makan Daging Babi Sambil Baca Bismillah, TikToker Disiasat Polis Kerana Persenda Islam
Hina agama
Memetik laporan CNN Indonesia, pempengaruh yang berusia 33 tahun itu didapati bersalah kerana memuat naik video yang mencetuskan kebencian agama terhadap individu dan kumpulan agama tertentu.
Hukuman tersebut dikenakan ke atas Lina susulan video dirinya membaca ‘Bismillah’ sebelum menjamah hidangan berupa babi yang meraih perhatian ramai wargamaya di media sosial.
Bukan itu sahaja, Lina juga diperuntukkan untuk membayar denda sebanyak 250 juta rupiah (RM76,436.40) dan sekiranya gagal untuk membuat sebarang bayaran, hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan.
Terdahulu, tertuduh yang mengakui dirinya sebagai Muslim menerima kecaman teruk bukan sahaja dari wargamaya malah badan ulama tertinggi, Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang turut menyifatkan perbuatannya itu sebagai menghina agama.
Difahamkan, ia adalah kes terbaharu menghina agama yang menggemparkan negara majoriti Islam tersebut.
Sumber: CNN Indonesia