Seorang lelaki yang dipercayai merupakan pegawai kanan polis ditahan bagi membantu siasatan berhubungan kemalangan maut membabitkan seorang pelajar tingkatan lima berhampiran Sekolah Menengah Jati yang terletak di Meru, Ipoh, Perak.
Artikel Berkaitan: Polis Siasat Pelajar 17 Tahun Maut Dilanggar Lari
Direman hari ini
Memetik laporan Harian Metro, individu yang bertugas dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah tersebut akan direman hari ini bagi tujuan siasatan lanjut.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta Perodua Ativa dipercayai milik suspek dan sebuah motosikal jenis Yamaha milik mangsa.
Penunggang motosikal, iaitu remaja berusia 17 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pegawai polis berusia 44 tahun tidak mengalami kecederaan.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah kecederaan bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya.
Dalam pada itu, Yahaya menjelaskan bahawa kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurutnya, siasatan akan turut dijalankan dari pelbagai sudut termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang atau membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular beberapa video memaparkan kejadian kemalangan tersebut sehinggakan menjadi perhatian wargamaya di media sosial.
Sumber: Harian Metro