berita

Ketagih Bubble Tea, Usus Lelaki Ini Tersumbat ‘Ketulan Hitam’ & Terpaksa Dibedah

August 27th, 2019 | by Shahira
Kini Trending

Minuman bubble tea sememangnya sangat popular pada masa kini sehinggaa menjadi satu fenomena dalam kalangan anak muda. Ada yang sanggup beratur panjang demi minuman kegemaran mereka ini. Di Asia, minuman bubble tea ini menjadi buah mulut ramai kerana kemanisan teh dan keunikan rasa topping boba atau pearl itu sendiri.

Walau bagaimanapun, pengambilan bubble tea yang berlebihan juga boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit. Sebelum ini media melaporkan beberapa kes kematian dan komplikasi kesihatan kesan daripada pengambilan bubble tea secara berlebihan.

Bubble tea tersekat pada usus

Menerusi laporan Vietnam Net, seorang lelaki berusia 20 tahun telah dimasukkan ke hospital akibat usus tersumbat. Jurucakap hospital Phu Tho mengatakan, Nhat telah dipindahkan ke unit kecemasan berikutan dengan keadaan pesakit yang mengalami sakit perut yang teruk, muntah-muntah dan mengalami sakit abdomen.

Hasil pemeriksaan imbasan CT mendapati terdapat sesuatu objek yang tersekat pada usus pesakit tersebut dan ujian ultrasound menunjukkan berlakunya pembesaran usus.

Lelaki berkenaan dikatakan mengalami sakit perut sejak pertengahan bulan Julai yang lalu dan telah bertahan selama 20 hari sebelum keadaan bertambah teruk pada 9 Ogos semasa dia membuang air besar.

Ketulan hitam dari usus

Nhat kemudian dibawa oleh keluarganya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Setelah pemeriksaan, doktor mendapati pesakit tersebut mengalami halangan usus. Menurutnya, terdapat objek yang menghalang usus lelaki itu disebabkan sisa makanan yang tidak dihadam.

Ketulan makanan yang berada di dalam perut pesakit ini keras dan padat menyebabkan pihak hospital tidak dapat menjalani rawatan endoskopi untuk memisahkan makanan yang tidak dihadam tersebut. Doktor tidak mempunyai pilihan lain selain melakukan pembedahan bagi membuang ketulan itu. Selesai pembedahan, mereka telah berjaya mengeluarkan dua ketulan hitam dari usus kecil dan perut pesakit berkenaan.

Boleh menyebabkan kematian

Menurut Dr. Thung, kes usus tersumbat merupakan satu perkara yang serius dan jika tidak dibuang dengan segera ianya boleh mendatangkan risiko kepada pesakit seperti jangkitan, keracunan, nekrosis usus, kegagalan organ dan boleh menyebabkan kematian.

Nhat merupakan seorang peminat tegar bubble tea dan ketagih dengan minuman ini sejak dia bekerja di gerai minuman ringan berkenaan. Nhat juga dikatakan kurang mengambil hidangan seperti nasi.

Sumber: Vietnam Net, Siakap Keli

SKIP THIS AD ×