Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana pihak swasta. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pada 26 November tahun lepas kerajaan memutuskan aplikasi MySejahtera kekal menjadi hak milik kerajaan dan KKM dilantik sebagai pemilik utama.
MySJ ditubuh atas prinsip CSR
Foto: The Edge
Menerusi satu kenyataan, Khairy memaklumkan bahawa KKM dilantik sebagai pemilik utama aplikasi tersebut bagi pengurusan kesihatan awam negara. Selain itu, kerajaan juga tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn. Bhd (KPISOFT), yang telah membangunkan aplikasi MySejahtera.
KKM ingin menjelaskan bahawa kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta. Pada 26 November 2021, pihak Kerajaan telah memutuskan bahawa aplikasi MySejahtera adalah hak milik Kerajaan dan KKM dilantik sebagai pemilik utama aplikasi ini untuk pengurusan kesihatan awam negara.
Kerajaan tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn. Bhd (KPISOFT), yang telah membangunkan aplikasi MySejahtera sepanjang tempoh penggunaan aplikasi ini dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021. Perkara ini adalah berdasarkan ketetapan syarikat yang telah menawarkan penggunaaan aplikasi MySejahtera kepada Kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran berdasarkan prinsip Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat.
Tambahnya lagi, setelah tamat tempoh CSR tersebut, kerajaan bersetuju agar perkhidmatan MySejahtera diteruskan kerana keteguhan dan keupayaan dinamik teknologinya.
Pada 26 November 2021, kerajaan mengambil keputusan supaya KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga dengan keahlian yang terdiri daripada agensi pemegang taruh berkaitan untuk melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun.
Data MySJ dilindungi Akta 342
KKM turut menegaskan bahawa data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan KKM sejak ia mula digunapakai dan segala pengurusan data akan melalui proses tadbir urus data yang telah ditetapkan oleh KKM. Data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.
Penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa.
Di samping itu, transaksi data daripada aplikasi MySejahtera dimuat naik ke jaringan ‘cloud server’ setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaaan aplikasi MySejahtera sahaja. KKM berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejahtera tanpa ragu-ragu.
MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan dengan KKM sebagai pemilik utama termasuk semua data yang diterima MySj. Kerahsiaan data adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi. pic.twitter.com/DcRCID0vXb
— Khairy Jamaluddin ??? (@Khairykj) March 27, 2022
Sumber: Khairy Jamaluddin