berita

Kisah Giulia Tofana Si Pembuat Racun, Mengaku ‘Bantu’ Ramai Wanita Yang Sengsara Bunuh Suami Kejam!

January 26th, 2021 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Sekitar abad yang ke-17, kes pembunuhan ini bukanlah satu kes yang biasa. Seorang wanita yang dikenali sebagai Giulia Tofana, telah berjaya meracuni dan membunuh seramai 600 lelaki dalam tempoh 20 tahun. Mempunyai kemahiran membuat racun secara profesional, Giulia telah membantu para isteri yang ingin membunuh suami mereka pada masa tersebut. Jom baca!

Bantu golongan wanita dizalimi

Foto: Weird History

Kisah Giulia Tofana ini berlaku di Itali ketika zaman Renaissance. Pada zaman tersebut, ramai wanita mempunyai niat untuk membunuh suami masing-masing. Ini kerana, mereka dijadikan mangsa penderaan dan ‘boneka’ untuk dilelongkan kepada orang awam. Wanita-wanita pada zaman tersebut juga tidak mempunyai kekayaan atau status sosial yang tinggi. Jadi, mereka cuma ada empat pilihan sahaja untuk meneruskan kehidupan iaitu berkahwin, kekal bujang, jadi janda yang kaya dan dihormati atau pekerja seks. Bagi kebanyakan wanita, pilihan ketiga nampak lebih baik berbanding yang lain, dan ini bermakna mereka perlu berkahwin dahulu dan memastikan suami mereka mati. Oleh itu, wanita yang sudah berkahwin boleh dikira beruntung kerana, dunia jenayah magikal ‘underworld‘ telah berkembang dan pelbagai ‘perkhidmatan’ untuk membunuh si suami turut disediakan.

Komuniti ‘underworld‘ ini boleh dijumpai di bandar-bandar besar Eropah dan mereka terdiri daripada ahli kimia, apothecaries, dan juga pakar ilmu hitam. Pakar-pakar ini turut menyelesaikan masalah yang tidak boleh diselesaikan oleh doktor atau paderi pada masa itu. Sebagai contoh, mereka boleh menggugurkn bayi dalam kandungan. Giulia Tofana antara salah seorang individu yang menyediakan khidmat jenayah tersebut. Namanya sangat dikenali kerana dia khidmat yang dilakukan tidak dapat dikesan oleh sesiapa pun.

Mula hasilkan racun

Foto: Racun yang telah dijual kepada pelanggan (Allthatsinterseting.com)

Giulia Tofana merupakan seorang wanita yang dilahirkan sekitar tahun 1620 di Palermo, Sicily. Dia merupakan anak kepada Thofania d’Amando. Ibunya merupakan seorang pembunuh dan telah dihukum mati kerana membunuh suaminya iaitu bapa kepada Giulia. Senjata yang digunakan pada masa tersebut cuma racun sahaja.

Meskipun membesar tanpa kasih sayang seorang ibu yang secukupnya, Giulia telah mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga. Selepas berkahwin, dia telah menjadi janda dan berpindah bersama anak perempuannya bernama Girolama Spara, ke Naples dan kemudiannya ke Rom. Mengikuti jejak ibunya, Giulia didakwa mula menjual racun yang mempunyai ramuannya sendiri. Perasaan dendam terhadap kaum lelaki juga telah mendorongnya untuk menghasilkan racun paling berkuasa pada zaman itu.

Mendapat bantuan daripada anak perempuannya dan sekumpulan wanita yang boleh dipercayai, Giulia membina reputasinya sebagai tempat memberikan khidmat buat golongan wanita yang sedang menghadapi masalah. Seorang paderi juga telah dilantik menjadi sebahagian daripada rangkaian jenayah mereka. Dipercayai paderi tersebutlah yang membekalkan arsenik untuk mereka menghasilkan bahan utama dalam racun tersebut. Kesemu racun-racun yang dihasilkan itu akan diletakkan di dalam botol kosmetik untuk pelanggan mereka. Idea Giulia untuk meletakkan racun dalam botol kosmetik merupakan percaturan yang bijak. Sekiranya ada yang curiga dengan perniagaannya yang berkembang pesat itu, Guilia hanya perlu menunjukkan botol ‘Aqua Tofana’ sebagai bahan kosmetik yang dijual kepada pelanggannya.

Kalau korang nak tahu, walaupun racun tersebut nampak seperti cecair biasa, ‘Aqua Tofana’ ini mampu menjadi pembunuh secara senyap. Ramuannya yang tidak berwarna dan tidak berbau itu boleh membunuh seorang lelaki dengan hanya empat hingga enam titisan sahaja. Para isteri yang menggunakan racun tersebut tidak perlu risau kerana pihak berkuasa tidak dapat mengesan punca si suami meninggal dunia. Malah, pihak berkuasa mungkin berkata si suami meninggal dunia disebabkan penyakit lain.

Kantoi isteri buat pengakuan

Foto: Weird History

Jika tidak kerana seorang pelanggannya ini, tentu sampai sekarang jenayah Giulia ini tidak dapat dikesan. Semuanya berpunca apabila seorang wanita yang berniat ingin membunuh suaminya itu telah mendapatkan ‘Aqua Tofana’ dan meletakkannya di dalam mangkuk sup yang dihidangkan kepada suaminya. Tapi belum sempat suaminya nak menghirup sup tersebut, wanita itu telah mengubah fikirannya dan merayu kepada suaminya untuk tidak makan sup tersebut. Kerana terlalu curiga, suami wanita tersebut telah mendesak dan mendera isterinya itu untuk menceritakan hal sebenar.

Tidak tahan dengan penderaan yang perlu dihadap, wanita tersebut telah menceritakan bahawa dia telah meletakkan racun yang dibelinya dari Giulia Tofana. Sejak dari insiden tersebut, semua rahsia Giulia Tofana akhirnya kantoi. Giulia sempat melarikan diri sebelum berjaya ditangkap oleh pihak polis. Semasa didakwa, Giulia akhirnya mengaku bahawa dia bertanggungjawab menjual dan menyediakan racun ke atas 600 kes kematian dari tahun 1633 hingga 1651. Berita ini telah menjadikan Giulia Tofana sebagai pembunuh paling dahsyat dalam sejarah.

Kisah hidup Giulia juga tamat apabila dia dijatuhkan hukuman mati di Campo de’ Fiori di Rom pada tahun 1659. Anak permpuannya dan tiga pembantunnya turut dijatuhkan hukuman yang sama. Seramai 40 orang pelanggan kelas bawahan turut dihukum. Manakala, pelanggan kelas atasan pula dipenjarakan. Ada juga pelanggan yang terlepas daripada sebarang hukuman. Mereka memberi alasan tidak mengetahui bahawa ‘Aqua Tofana’ adalah racun.

Sumber: Allthatsinteresting.com & Weird History

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×