Tak ramai yang ringan mulut nak bersembang dengan ‘strangers’ di Malaysia ni kan? Lebih-lebih lagi nak bercerita kisah peribadi dengan orang yang baru beberapa minit kita kenal.
Namun, siapa sangka pertemuan Khairul Hakimin Muhammad dengan seorang lelaki di sebuah stesen minyak telah banyak memberi pengajaran kepadanya tentang kehidupan dan juga erti sebenar pengorbanan seorang isteri.
Beri RM5 kepada seorang stranger…
(sekadar gambar hiasan)
Semalam, bila sudah berpenat-penat ke hulu hilir, saya singgah ke Petronas yang sebelum Exit PLUS UPM. Saya antara peminat biskut besar dari sebuah kedai sandwich bertaraf dunia ini. Kopi dia pun boleh tahan best. Hi hi hi.
Siap membeli, saya pun ambillah port berdiri depan motor dan mengunyah biskut yang ada. Abang motor di sebelah saya masih bercakap-cakap telefon. Risau juga, gelombang telefon ni kalau di stesen minyak memang boleh membuat kita terbayang filem-filem Hollywood yang meletup dan melambung bagai.
Sedang sedap menghirup kopi panas tu, abang ni tegur. “Dik, abang mintak tolong sangat, ada lima hinggit tak?” “Ada-ada,” Saya terus hulur. Dia pun ambil dan cakap mintak halal. Saya angguk setuju. Dia terus menolak motornya ke tempat pam minyak, bayar dan mengisi minyak. Mukanya kusut ya Tuhan. Apa lagi, tetiba perasaan syurga merasuk diri terus pergi beli roti dan air mineral. Masa beratur nak bayar tu duk berdoalah supaya dia tak jalan lagi. Tup tup, dia parking semula kat tempat motor.
Saya pun serahkan air tadi dengan roti. Dia punya bersyukur dan senyum, Tuhan sahaja yang tahu. Memang nampak lapar betul.
“Sori dik, abang tertinggal wallet sebenornya. Tadi tepon orang rumah, membebel ya Allah! Dengan orang perempuan ni, diam aja! Tak usah cuba nak jawab-jawab,”Saya senyum sahaja melihatnya. Udah tetiba jadi macam kawan karib, seorang makan biskut, seorang lagi makan roti bersembang-sembang kencang.
Gaji RM1,500, Anak 6..
(sekadar gambar hiasan)
Saya bertanya kepada dia kerja mana, anak berapa, duduk mana dan yang paling penyibuk sekali ialah tanya bini berapa orang. Dia jawab kool betul. Dia berkahwin masa di Mesir. Anak nak masuk enam orang. Sekarang, dia bekerja di sebuah sekolah agama di Kuala Lumpur. Gajinya ya Tuhan, RM1,500 sahaja sebulan. Puas jugaklah tanya sekolah kerajaan ke sekolah swasta, dia tak mahu jawab. Katanya buat apa dia nak bising-bising, Tuhan tentukan dia kerja kat situ dan dia happy. Isteri dia juga mengajar. Ustazah.
Dari kami berdiri kat situ, akhirnya dia duduk dan sambung bersembang.
Macam biasa, orang lelaki bab ngusik anak ramai ni memang tak boleh lekang. Dia ketawa sahaja saya cakap bab tu. Dia kata, itu rezeki dia. Paling seronok dia cerita bab berkat. Katanya, Anak paling sulung sekarang sudah bersekolah menengah. Settle, anak ke-dua baru darjah enam. Anak ketiga dan ke-empat darjah empat dan darjah tiga. Lepas tu dia rehat kejap. Kemudian ketawa. Anak ke-lima baru empat tahun dan kini menanti anak ke-6.
Dia kata, berkat itu datangnya bila reda dengan ketentuan Tuhan. Contoh paling mudah ialah, dia reda berkahwin di Mesir. Balik Malaysia, tak ada kerja dan dah ada anak seorang. Cari punya cari kerja, tak berjaya. Akhirnya mengajar budak-budak mengaji kat rumah lepas maghrib. Itu ajalah yang dia buat. Ada masa adalah orang bayar, ada masa tak ada.
Isteri suka membebel..
(sekadar gambar hiasan)
Isteri dia, dia kata kalau ada anugerah Meletop bab membebel. Memang boleh menang 18 kali berturut-turut. Isteri dia jenis tak sabar, kalau beras habis. Habislah satu dunia dia canang kat rumah mertua. Malu bukan kepalang. Tetapi, dia reda dan sabar. Dia berusaha ubah semua itu dengan perbuatannya. Bila dia dah dapat jadi cikgu kat sekolah, isterinya tup tup dapat kerja juga. Ikutkan, dia memang pelik dengan rezeki Tuhan yang datang tiba-tiba. Mulai hari itu, dia berubah.
Nak elak isteri dia membebel hari-hari dengan macam-macam hal, dia balik awal. Usaha untuk kemas rumah dan masak makan malam hampir hari-hari. Isterinya jenis kalau boleh nak selesaikan kerja kat sekolah. Tak mahu bawa balik rumah, jadi agak kerap pulang lewat berbanding dia. Tetapi, bab hantar ambil anak, dia serah pada isteri. Kerana lokasi rumah dan sekolah anak lebih dekat berbanding dia yang kerja di luar kawasan.
Dia kata, isteri ni satu makhluk Tuhan yang indah sungguh dimata suami. Tapi suami janganlah tahu pandang dan rasa sahaja. Suami kena tawan hati isteri itu seperti mana isteri itu telah mencuri hati suami. Cewah. Terhenti sekejap abang hirup kopi masa dia cakap ni. Terindu sekejap kat bini. Hihihi.
Orang perempuan ni, ada beribu nyawa. Tuhan beri wanita ini kelemahan yang amat banyak. Tetapi setiap satu kelemahan perempuan ini perlu ditampung oleh suami. Sejak dia kerap balik awal, masakkan makan malam dan gosok baju sekolah anak-anak, isterinya lebih diam dan sesekali isteri dia siap beli cordial sarsi kegemarannya. Buh ais dan letak tepi meja satu jag. Anak-anak sapu bantai sampai dia pun tak sempat minum. Tapi dia gembira.
Sebelum ini, semua perkara dari laman rumah sampai ke longkang belakang, isteri dia uruskan. Bila isteri mintak tolong, dia akan cakap “abang penat kerja, kau buat ajelah mana yang boleh,”. Tapi sekarang tak. Dia kata, keberkatan berkahwin dan melayani isteri dengan cara membantu itu ini, akhirnya memberi kemudahan dan kesenangan dalam hidupnya.
Dia punya jiran yang baik hati yang sanggup jaga anaknya paling bongsu itu tanpa kenakan apa-apa bayaran. Jirannya sekadar suka bermanja dengan anak-anak kecil. Tiga lagi anaknya yang bersekolah rendah, menjadikan rumah jirannya itu tempat transit. Pun tak kenakan bayaran. Dia kata, kadang-kadang segan. Hulur juga 100-200 sebulan. Ikutkan, kalau nak dihantar tadika bagai dah pakai duit banyak, tapi alhamdulillah Tuhan tolong beliau. Dia kata, nak Tuhan tolong hidup suami banyak-banyak, suami pun kena tolong isteri dan anak-anak banyak-banyak. Fuh. Telan air liur dulu.
Isteri kembali jadi ratu bebel…
“kau boleh mulakan semua ni masa isteri kau mengandung, sungguh! Itu semua kau kena buat sendiri,” Saya angguk. Power betul syarahan abang ni.
“Eh kau ni duk bersembang dengan aku, tak ada binike?” Dia ketawa. Saya pun jawab setakat ini ada seorang. Ha ha ha, kami ketawa lagi bersama.
“Kenapa abang tak balik lagi?”
“A..aa… sebenarnya kisahnya gini,” Saya dah pelik. Betullah kan, sepatutnya dah isi minyak tadi, dia patut baliklah. Dia pun cakap,
“Pagi tadi, aku datang kerja naik komuter, motor aku tak boleh hidup . Motor ni motor kawan aku, aku tadi pergi melawat ada orang kampung masuk wad kat HKL, pinjamlah motor kawan. Tengok-tengok dah habis waktu sekolah, jadi aku pun pulun balik rumah, lupa bawak motor orang hahahaha!” Dia ketawa seorang. Saya terpinga-pinga. Katanya telefon dia bergegar teruk beberapa kali, akhirnya dia berhenti dan baru perasan dia bawa balik motor kawan.
“Sebab tu lah bini aku dah kembali jadi ratu membebel! Hahahaha, udah kawan aku kena datang dengan bini dia nak ambil motor ni. Aku nak hantar balik, dia tak kasi, dia nak datang ambil kat sini. Aku segan, tambahlah minyak, bukannya minyak habis lagi, tunggu dia datang la nih, hahaha” Dia ketawa lagi.
“la, habis tu macammana naik komuter pagi tadi? Kan Wallet tinggal?”
Dia gelak, dia siap boleh jawab, “ha pandai-pandailaaah!”
Rasa nak lempang pun ada ustad ni. Boleh tahan melawaknya. Nasihat tadi dah ohsem, sekali dia boleh bawak balik motor kawan. Patutlah dia dianugerahkan Tuhan dengan isteri yang kuat bercakap, untuk ingatkan dia barangkali.
Saya pun terus naik motor, pulang ke Bangi dan merindui isteri. Hahaha.
Kawan-kawan,
Setiap kali kita bertemu orang asing, itu adalah anugerah Tuhan. Kan kau selalu kata pertemuan dan perpisahan itu lumrah. Cewah. Jadi rajin-rajin bersembang dan lihatlah ilmu yang kita dapat hari itu. Mulai hari ini, abang rasa nak tolong isteri di rumah, sambil tolong tengok dia masak, tengok dia kemas rumah dan tengok dia kemas dapur. Abang juga akan tolong bukakkan suis tv. Kahkahkah.
Semoga ada manfaatnya kawan-kawan!
Khairul Hakimin. Muhammad
Suami yang paling sweet. Cewah.