Baru-baru ini viral di media sosial keratan komik bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang didakwa diedarkan secara senyap ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini. Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah memberi kebenaran kepada komik yang berunsur propaganda politik tersebut dikeluarkan.
Beliau juga telah mengarahkan KPM menyiasat individu atau orang dalam yang bertanggungjawab menyebarkan komik propaganda ini dan tindakan tegas akan diambil.
‘Tak dapat kelulusan KPM’ – Dr Maszlee
Sebagai Menteri Pendidikan, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa komik propaganda politik tersebut tidak pernah mendapat kelulusan dari Kementerian Pendidikan Malaysia. KPM tidak akan membenarkan pengedarannya ke sekolah-sekolah di bawah KPM.
Semua sekolah yang telah menerima komik tersebut telah diarahkan untuk tidak disebarluaskan. KPM tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempergunakan sekolah sebagai alat propaganda murahan.
Saya juga telah mengarahkan KPM untuk menyiasat segera jika terdapat mana-mana individu termasuk anggota dalaman yang bertanggungjawab membenarkan komik ini diedarkan di sekolah. KPM akan memastikan siapa sahaja jika terbukti benar dakwaan ini akan diberi tindakan tegas.
Gesa hormat keputusan kerajaan
Saya ingin menasihatkan mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan agar kembali mematuhi semangat “rule of law” dan juga “collective responsibility”.
Saya juga ingin menggesa pimpinan DAP untuk mendisiplinkan ahli-ahli mereka agar menghormati keputusan kerajaan dan patuh terhadap perlembagaan dan undang-undang negara. Kedua perkara inilah yang membina negara kita.
Tindakan merendah-rendahkan parti komponen lain seperti yang dilakukan oleh Saudara Ronnie Liu ialah tindakan yang biadab dan sangat tidak berasas.
Budaya politik murahan begini hanya akan merosakkan keadaan. Ia membawa lebih banyak perpecahan malah membantutkan agenda reformasi yang sedang kita laksanakan.
Yb Dr Maszlee Malik
23 Oktober 2019
Menerusi laporan Berita Harian, Dr Maszlee berkata tindakan itu diambil atas nasihat Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Negara kita memiliki undang-undang yang perlu dihormati dan dipatuhi. Ini merangkumi semua bahan bercetak, termasuk buku atau komik politik mahupun bahan propaganda yang jika mahu diedarkan, apatah lagi ke sekolah, ia perlu mengikut peraturan.
Semua bahan bercetak tertakluk pada undang-undang percetakan (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984).
Kita bertindak atas landasan undang-undang. Dalam apa saja tindakan dibuat, kita perlu merujuk kepada KDN.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberitahu penulis komik sudah memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan kes. Siasatan wajar akan dibuat selepas KDN mendapati terdapat perkara tidak benar ditulis.
Sumber : Dr Maszlee Malik , Berita Harian