berita

‘Komplot Jahat Musnah Kerjaya Politik’ – Tiada Tuduhan Video Intim, Azmin Ali Luah Rasa Syukur

January 10th, 2020 | by Arini Saleh
Isu & Kontroversi

Jabatan Peguam Negara menerusi kenyataan media semalam memaklumkan tidak akan membuat apa-apa pertuduhan kepada mana-mana pihak berhubung isu video intim. Video intim yang viral pada Jun lalu dikatakan mirip seorang pemimpin tertinggi parti politik.

Memetik laporan Astro Awani, Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkata siasatan dijalankan di bawah seksyen 377B dan 377D Kanun Keseksaan selepas menerima laporan polis daripada beberapa individu mengenai penularan video tersebut.

Tiada pertuduhan dibuat

Walaubagaimanapun, beliau memberitahu tiada pertuduhan yang boleh dibuat selepas siasatan dijalankan. Tambahnya, siasatan akan dibuka semula jika ada keterangan baru.

Dalam hal keadaan-keadaan ini dan setelah menyemak keterangan yang telah dikumpulkan dan dikemukakan oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia) kepada Jabatan ini, Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara mengesyorkan kepada saya bahawa tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung dengan video berkenaan.

Saya telah menerima syor tersebut dan membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana pihak. Selaras dengan amalan biasa, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baru diperolehi,’ kata Tommy dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Klip-klip video berhubung kes telah dihantar untuk ditentukan ketulenan dan pengecaman wajah di dalam dan luar negara. Meskipun CyberSecurity Malaysia menyimpulkan video adalah tulen, pengecaman wajah tidak dapat dilakukan kerana resolusi rakaman yang rendah.

Bersyukur bebas dengan sebarang tuduhan, Datuk Seri Azmin Ali di Facebook meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas kebenaran. Beliau juga berdoa agar tiada sesiapa yang akan menjadi mangsa kedurjanaan politik seperti ini.

Komplot jahat musnahkan kerjaya politik saya – Azmin Ali

KENYATAAN MEDIA

Saya telah membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas mengenai video fitnah terhadap saya.

Seperti yang saya telah tegaskan secara tuntas sejak dari awal, video fitnah ini hanyalah satu komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politik saya. Meskipun mereka yang berniat jahat boleh merancang dan bersekongkol, saya tidak sama sekali ragu bahawa keadilan akan menyerlah.

Justeru itu, saya bersyukur kepada Allah SWT atas kemenangan kebenaran ke atas kejahatan dan saya berdoa agar tidak ada sesiapa lagi yang akan menjadi mangsa kepada kedurjanaan politik seperti ini.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang setulusnya kepada isteri dan anak-anak saya kerana kepercayaan dan dukungan mereka yang tidak berbelah bahagi dan berterusan kepada saya. Dari dalam lubuk hati saya juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan rakyat atas sokongan yang teguh dan padu.

Akhir sekali, mari kita menghentikan politik fitnah, serangan peribadi dan caci-maki. Sebaliknya, mari kita jayakan wacana yang membina dan idea bernas tentang Kemakmuran Bersama, kesejahteraan rakyat dan pembinaan negara.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
9 Januari 2020

Sumber : Astro Awani , Azmin Ali

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×