Foto: Harian Metro
Komposer, Wan Zul atau nama sebenar Che Wan Zulkifli Che Wan Abdul Ghani dilapor telah menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi di Hospital Kemaman, Terengganu.
Wan Zul meninggal dunia
Foto: Harian Metro
Allahyarham Wan Zul yang juga merupakan pencipta lagu Suci Dalam Debu nyanyian kumpulan Iklim meninggal dunia pada usia 61 tahun. Berita pemergian komposer terkenal itu dikongsikan adik arwah iaitu Che Wan Zuhaini, 58, menerusi Aplikasi WhatsApp.
Saya menerima berita sedih itu daripada anak arwah jam 2.30 pagi tadi tetapi waktu yang tepat jam berapa arwah meninggal dunia saya tidak pasti. Saya sekarang berada di Kuantan dan akan pulang ke Kemaman pagi nanti.
Tambahnya lagi, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediaman keluarga di Kijal, Kemaman dan dijangka dikebumikan sebelum tengah hari ini.
Terdahulu, Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kemaman sejak 2 Oktober lalu akibat kencing manis dan jangkitan kuman pada paru-paru. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Tengku Siti Famah dan dua anak iaitu Che Wan Norsyikin dan Che Wan Noradli.
Sebagai info, Allahyarham juga merupakan pencipta lagu-lagu ‘evergreen’ nyanyian Iklim seperti Aduhai Seribu Kali Sayang, Kerana Takdir dan Biografi Cinta Luka. Selain itu, Allahyarham turut mencipta beberapa lagu popular seperti Hanya Satu Persinggahan (Ekamatra), Antara Sutra Dan Bulan nyanyian Damasutra dan banyak lagi.
Sumber: Harian Metro