Berikutan sambutan yang luar biasa oleh peminat untuk Konsert D’Masiv Road To The World, pihak penganjur Neptunes Presents akan menambah satu hari lagi konsert tersebut yang bakal diadakan pada 3 Jun ini pada jam 8 malam bertempat di Zepp, Kuala Lumpur.
Artikel Berkaitan: D’ Masiv Pilih Malaysia Jadi Lokasi Pertama Konsert 20AD To The World
Artikel Berkaitan: Nabila Huda Bawa D’Masiv Ke Kuala Lumpur, Adakan Konsert Pada 2 Jun Ini
Tiket hari pertama ‘licin’
Penganjurnya yang juga aktres popular, Nabila Huda berkata, tiket untuk konsert malam pertama iaitu pada 2 Jun habis dijual dalam masa 48 jam, justeru itu pihaknya tidak mahu mengecewakan peminat yang tidak sempat mendapatkan tiket.
Alhamdulillah, tiket Konsert D’Masiv Road To The World malam pertama licin dalam tempoh 48 jam, baru-baru ini.
Sambutan hangat peminat D’Masiv untuk konsert pada malam pertama mencetuskan idea kepada Neptunes Presents dan D’Masiv untuk menambah satu malam lagi, sekali gus memberi ruang kepada peminat kumpulan ‘Masivers Malaysia’ untuk menyaksikan konsert yang julung kalinya diadakan di Kuala Lumpur.
Sementara itu, pada malam konsert tersebut juga akan dimeriahkan lagi dengan penampilan bekas vokalis kumpulan Nidji, Giring sebagai artis jemputan yang bakal beraksi pada malam kedua konsert.
Pemilihan Giring dibuat pengurusan D’Masiv, sekali gus untuk sama-sama meraikan sambutan ulang tahun ke-20 kumpulan itu bersama peminat di Malaysia.
Menariknya, vokalis D’Masiv, Rian Ekky Pradipta akan berduet dengan Giring menerusi satu lagu istimewa buat peminat.
D’Masiv juga bakal mempersembahkan sebanyak 25 buah lagu popular mereka pada malam kedua konsert itu.
Segala persiapan rapi sudah dibuat D’Masiv membabitkan konsert pada dua malam terbabit. Apa yang pasti, D’Masiv akan mempersembahkan konsert yang akan menjadi kenangan terindah buat peminat di Malaysia.
Sebanyak 25 rangkaian lagu popular akan dipersembahkan D’Masiv pada konsert dua malam terbabit seperti Pergilah Kasih, Jangan Menyerah, Cinta Ini Membunuhku dan banyak lagi.
Kumpulan D’Masiv dianggotai oleh Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan, Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram).
Dalam pada itu, Nabila berkata konsert ini juga akan menampilkan Is Pusakata dari kumpulan Parade Hujan yang lebih dikenali dengan nama Payung Teduh sebelum ini.
Is Pusakata juga mempunyai lagu duet bersama D’Masiv iaitu Ingin Lekas Memelukmu yang menjadi hits di Indonesia dan Malaysia.
Mengulas tentang penjualan tiket, Nabila menjelaskan bahawa tiket konsert untuk malam kedua sudah dibuka kepada orang ramai untuk pembelian dan sudah pun terjual sebanyak lima puluh peratus.
Tiket untuk konsert D’Masiv malam kedua boleh dibeli menerusi laman web www.myticketempire.com.