
Kumpulan lagenda, Exists yang dianggotai Ujang, Ajai, Musa, Along dan Ezad mengumumkan konsert EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ yang sebelum ini dijadualkan pada 4 Oktober telah ditunda ke tarikh baharu.
Artikel Berkaitan: Satu Malam Dua Kumpulan Lagenda, Konsert Slam X Exists ‘Our Journey’ Penuh Magis!
Tunda
Pihak Exists bersama penganjur JioBuddy sepakat memilih 20 Disember 2025 sebagai tarikh rasmi baharu penganjuran konsert berprestij itu.
Menurut wakil penganjur, Sean Ng, penundaan ini bukan sekadar soal teknikal, tetapi bagi memastikan konsert yang dibawakan benar-benar menepati konsep premium dan eksklusif, sesuai dengan judul konsert.
Dengan rendah hati kami di JioBuddy mengumumkan EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ telah ditunda kepada 20 Disember 2025, di lokasi dan waktu yang sama.
Penundaan ini adalah kesepakatan bersama Exists agar konsert ini benar-benar bersifat premium, bukan sekadar persembahan biasa.
Exists sering tampil dalam konsert ‘back to back’ dan sudah tentu akan mempersembahkan lagu-lagu malar segar mereka.
Bezanya, konsert kali ini akan benar-benar premium daripada segi muzik, audio dan pengalaman yang lebih intim bersama peminat. Sebab itu kami yakin 20 Disember 2025 adalah tarikh terbaik sebagai penutup tahun Exists.
Sementara itu, Along mewakili Exists berkata, perubahan tarikh ini memberi lebih banyak ruang untuk persiapan termasuk aspek teknikal, sekaligus menjanjikan pengalaman persembahan yang tidak akan dilupakan peminat.
Tarikh baharu ini memberi kami peluang memperkemaskan persiapan teknikal. Exists sentiasa mementingkan kualiti dan menghargai setiap sen yang dibelanjakan peminat.
Kami mahu mereka merasai pesona mewah yang hanya dapat disaksikan sekali seumur hidup.
Dalam pada itu, pemain bass Exists, Musa pula menambah, konsert ini akan menjadi pesta istimewa buat peminat.
Kami mahu peminat menanti dengan rindu dan menjadikan konsert ini satu kenangan premium Exists pada hujung tahun nanti
Tiket boleh didapati melalui laman web rasmi www.jiotix.asia atau talian hotline +6011 1660 1122.