‘Konsert Canggung’ Datuk Jamal Abdillah yang dijadual berlangsung pada 29 Oktober ini di Dewan 2020, Kangar, Perlis, telah ditunda. Berita tersebut dikongsikan oleh penerbit yang juga penganjur Zeel Productions iaitu Fadzil Teh.
Beri laluan kepada PRU-15
Menurut Fadzil, penundaan itu dibuat selepas pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini. Oleh itu, pihaknya memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bakal dijalankan. Tambah Fadzil, pembeli tiket boleh membuat tuntutan bayaran semula dengan menghubungi nombor diberikan.
Kami memohon maaf atas kesulitan dan mengucapkan jutaan terima kasih buat rakan media yang membantu menghebahkan berita mengenai konsert ini.
Berikutan pengumuman tersebut, rata-rata netizen turut mempersoalkan mengenai ‘status’ konsert Rossa dan Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung pada awal November nanti di Plenary Hall, KLCC. Setakat hari ini, penganjur bagi kedua-dua konsert tersebut masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Terdahulu, penyanyi, Noraniza Idris turut mengambil keputusan untuk menunda penganjuran persembahan terakhirnya sebelum bersara iaitu Konsert Malai Solo yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober ini.