Bekas vokalis kumpulan Exists iaitu Mamat, ditahan oleh pihak polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu, di luar kawasan rumah kedai di Taman Perling, Johor Bahru, semalam.
Menerusi laporan Harian Metro, penyanyi berusia 41 tahun itu ditahan bersama seorang lagi rakannya. Kedua-dua mereka ditahan pada pukul 11.30 malam selepas dilihat berada dalam keadaan yang mencurigakan.
Ditemui di dalam dompet
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, serbuk putih disyaki dadah itu ditemui di dalam dompet penyanyi berkenaan. Manakala, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama.
Konsert berjalan seperti yang dirancang
Umum mengetahui bahawa kumpulan Exists bakal mengadakan konsert reunion mereka pada 28 September ini, di Stadium Malawati, Shah Alam. Berikutan penahanan Mamat, Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, konsert tersebut akan berjalan seperti yang dirancang. Walaupun pihaknya belum membuat sebarang keputusan lain. Tambahnya, sebagai pihak penganjur, mereka sangat memahami perasaan peminat yang sudah membeli tiket konsert tersebut.
Kami memahami sentimen yang sedang bermain di fikiran peminat-peminat Exists Reunion. Sebagai menjawab tanda tanya itu, apa yang boleh saya katakan ialah, terlalu awal untuk kita semua membuat keputusan. Namun begitu, sehingga ke saat ini, konsert yang dirancang akan berjalan seperti biasa dan kami serahkan pada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengikut ketetapannya. Bahkan, saya sendiri akan bertemu dan mengadakan perbincangan dengan anggota Exists yang lain bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan terhadap kes yang melanda Mamat.
Dari semasa ke semasa, Shiraz Projects akan berkongsi perkembangan terbaharu mengenai penganjuran konsert Exists Reunion. Kami amat menghargai kebimbangan, keprihatinan dan kerjasama semua pihak terutamanya penyokong-penyokong Exists Reunion dan rakan-rakan media.
Sebagai penganjur, Shiraz Projects bakal berkongsi perkembangan terbaharu mengenai konsert tersebut dan mereka berharap peminat dan rakan media mampu memberi kerjasama kepada mereka.
Sumber: Harian Metro & Awani