berita

Korang Graduan Yang Menganggur? Jom Rebut Peluang Melalui Penjana KPT-CAP Sekarang!

November 30th, 2020 | by Syakilla Marzuki
Shout Out!

Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) – Program Kemajuan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT-CAP) dijangka akan membantu siswazah menyesuaikan diri dengan tuntutan baharu pasaran kerja susulan penularan pandemik Covid-19.

Melalui PENJANA-KPT-CAP Career Advancement Programme atau Program Peningkatan Kerjaya ini akan memfokuskan kepada pengurangan kadar graduan yang menganggur. Jom baca dulu apa langkah seterusnya dan inisiatif yang korang boleh dapat melalui program ni!

Job Matching & Placement, keusahawanan dan gig economy!

Melalui program ini, ada tiga program utama yang akan diterajui oleh KPT iaitu salah satunya adalah Job Matching & Placementiaitu program latihan kompetensi bersasar kepada peserta sebelum memulakan pekerjaan yang ditawarkan oleh industri.

Seterusnya, Keusahawanan iaitu program latihan yang mensasarkan penubuhan syarikat pemula dan berupaya mendapatkan bantuan pembiayaan kewangan dan Gig Economy merupakan program latihan berkompetensi yang mampu membantu peserta menjana pendapatan melalui gig economy atau aktiviti berbentuk freelancing.

Jaminan pekerjaan kepada graduan!

Melalui PENJANA-KPT CAP, KPT akan berkolaborasi dengan pihak industri yang akan memberikan pendedahan kepada graduan dengan pekerjaan dalam industri-industri tertentu.

KPT juga menetapkan syarikat yang menawarkan kursus perlu mengeluarkan ‘Letter of Commitment’ (LOC) sebagai jaminan pekerjaan kepada peserta.

Ini bermakna, korang yang terpilih untuk mengikuti kursus Penjana KPT-CAP akan terus ditawarkan pekerjaan sebaik saja tamat program masing-masing dengan anggaran gaji yang ditetapkan sekitar RM2,000 hingga RM2,500.

Peruntukan dana sebanyak RM100 juta

Korang jangan risau, KPT juga menerima dana peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara bagi menjayakan program ni.

Pelbagai manfaat dari kursus ini

Antara kriteria yang ditetapkan oleh KPT dalam memastikan penawaran kursus menepati piawaian adalah program yang berimpak tinggi dan nilai tambah kepada kemahiran graduan dari segi reskilling dan upskilling. 

Dalam tempoh kursus selama 6 minggu, korang akan mendapat sijil yang diiktiraf iaitu siji kompetitif dari agensi yang diiktiraf. Manakala bagi pemilihan tenaga pengajar pula, 40% staf IPT dan 60% tenaga pengajar daripada industri.

KPT mensasarkan 20,000 peserta atau graduan baharu layak menerima manfaat daripada insentif ini dan kaedah pengajaran dijalankan sekurang-kurangnya 70% secara bersemuka.

Pemilihan mengikut kriteria

Kategori yang layak mengikuti program ini ialah pelajar IPT yang telah bergraduat pada tahun 2020 dan graduan yang belum pernah bekerja pada tahun 2019. Lokasi program akan diadakan di IPT masing-masing atau berdekatan dengan kediaman tetap korang.

Korang hanya layak dipertimbangkan untuk 1 program saja. Kalau korang berminat nak ambil lebih, korang kena membuat pembiayaan sendiri.

Graduan universiti awam boleh memohon program yang ditawarkan oleh mana-mana universiti hos selagi mana program tersebut memenuhi kriteria program yang ditetapkan. Penglibatan pelajar UA luar pula adalah sekurang-kurangnya 20% daripada jumlah peserta. Permohonan boleh dibuat melalui portal Great KPT saja.

Modul Kemahiran Insaniah, Persijilan Kompetensi & Persediaan Pekerjaan

Modul kursus dibahagikan kepada 3 iaitu Modul Kemahiran Insaniah, Modul Persijilan Kompetensi dan Modul Persediaan Pekerjaan.  Modul Kemahiran Insaniah dilaksanakan bagi tempoh seminggu sebagai persediaan peserta kepada program kompetensi.

Ia merangkumi topik seperti kepemimpinan dan kerja berpasukan, penyelesaian masalah dan membuat keputusan, kemahiran menulis dan pembentangan, kemahiran komunikasi, pemasaran media sosial dan lain-lain.

Modul kedua, berkaitan pentauliahan kompetensi, manakala modul ketiga akan merangkumi bimbingan dan persiapan untuk pasaran kerja.

Diharapkan, siswazah yang akan ambil bahagian dalam program ni dapat menerima manfaat dan memenuhi pasaran kerja pada suku pertama 2021 dengan sasaran ditentukan tercapai sepenuhnya!

SKIP THIS AD ×