Buat korang yang meminati filem aksi pengembaraan dan siri Manga karya Yasuhisa Hara, Primeworks Studios bakal melancarkan sebuah filem Jepun yang bertajuk Kingdom di pawagam seluruh Malaysia bermula 18 Julai ini.
Kingdom adalah sebuah filem aksi pengembaraan yang diarahkan oleh Shinsuke Sato, yang turut terkenal dengan karyanya yang lain seperti Bleach (2018), Gantz (2011) dan Death Note: Light Up the New World (2016) dan dihasilkan oleh Sony Pictures Japan. Jom kami ‘belanja’ enam sebab kenapa korang perlu pergi ke pawagam dan tonton filem aksi dari Jepun ini. Confirm korang suka!
Jalan cerita yang menarik
Filem Kingdom ini menceritakan kisah tentang Shin iaitu (Kento Yamazaki), seorang budak lelaki yatim piatu yang bercita-cita untuk keluar dari kancah kemiskinan sebagai seorang hamba dan menjadi seorang jeneral. Shin ditemukan dengan Eisei (Yoshizawa), seorang budak lelaki yang bakal ditakdirkan untuk menjadi Maharaja Qin, dan mampu membantu Shin dalam perjalanannya untuk mencapai impian.
Mereka bersama-sama berusaha untuk mendapatkan takhta Eisei dan menyatukan kesemua negeri yang berperang. Selain itu, filem ini juga berlatar-belakangkan zaman China purba. Pasti korang akan tertarik melihat cabaran dan dugaan yang akan ditempuhi Shin dan Eisei dalam mencapai impian mereka. Siap ada babak yang sedih!
Barisan pelakon yang hebat
Selain Kento Yamazaki, filem ini turut dibarisi pelakon hebat seperti Ryo Yoshizawa, Masami Nagawasa, Kanna Hashimoto dan Takao Osawa. Menerusi temubual eksklusif Team OhBulan dengan Kento Yamazaki di Tayangan Perdana filem aksi berkenaan di Singapura awal bulan Mei lalu, Kento kongsi persiapan dirinya sebelum, semasa dan selepas menjalani penggambaran filem tersebut.
Menurut pelakon berusia 24 tahun ini, dia perlu menghadiri kelas seni mempertahankan diri bagi memperoleh gaya dan teknik yang betul ketika melakukan aksi lawan. Di samping itu, dia terpaksa menurunkan berat badan dan berdepan dengan pelbagai kecederaan ketika melakukan aksi lawan tersebut. Namun, dia tetap gembira kerana berjaya menghabiskan penggambaran filem berkenaan. Tambahnya, dia turut berbesar hati kerana dipilih sebagai salah seorang pelakon utama bagi menjayakan filem Kingdom. Minat terhadap siri Manga juga membuatkan Kento, memberi 100 peratus fokus dan seluruh jiwanya terhadap filem itu.
Perwatakan Shin dan Kento banyak persamaan
Watak Shin dalam filem tersebut merupakan seorang budak suruhan yang membesar di suasana persekitaran yang sangat mencabar. Walaupun hidup susah, Shin tetap kuatkan semangat sambil rajin berusaha mencungkil potensi dirinya. Perwatakan yang hampir mempunyai persamaan di antara Shin dan Kento, ternyata diakui oleh dirinya sendiri ketika sesi temu ramah yang berlangsung tempoh hari. Walaupun tak jauh berbeza, namun Shin tetap menjadi idola yang paling Kento hormati kerana mempunyai sifat kelelakian, keyakinan yang tinggi, suci serta jujur.
Ditanya mengenai pandangan Kento terhadap watak yang dipegang dan cabaran keseluruhan filem tersebut, dia memberitahu bahawa karakter Shin ternyata berbeza daripada watak-watak yang dia pernah lakonkan sepanjang kariernya sebagai pelakon. Dia yakin para peminat yang mengikuti perkembangannya, pasti akan teruja melihat lakonan barunya ni. Tambahnya, Kingdom diinspirasikan menerusi sejarah sebenar, dan unsur drama turut diselitkan ke dalamnya sekali.
Kutipan siri manga paling laris
Filem ini adalah sebuah adaptasi dari sebuah siri Manga karya Yasuhisa Hara dan diterbitkan oleh Shueisha sejak tahun 2006. Siri Manga itu kini telah diterbitkan sebanyak 54 siri dan telah terjual lebih daripada 40 juta cetakan seluruh dunia. Menurut siaran media di Jepun, sejak pelancaran filem Kingdom pada 19 April 2019 di negara itu, filem ini telah berjaya meraih lebih 5 bilion Yen (USD46 juta) dan mendapat tontonan seramai 3.7 juta penonton.
Kostum yang unik dan cantik
Menurut Kento, kostum yang dipakai olehnya dan semua barisan pelakon Kingdom semasa sesi penggambaran sangat unik dan menarik kerana ianya melambangkan situasi pada masa dahulu. Tambahnya, pakaian yang dipakai oleh Shin itu merupakan pakaian yang dibuat olehnya sendiri menggunakan kain yang terpakai.
Setiap kali masuk set penggambaran, dia harus memastikan kostum dan kasutnya benar-benar ketat supaya dirinya kelihatan stabil ketika melakukan aksi. Setiap perincian termasuk pedang yang digunakan juga akan dipastikan sesuai dengan personaliti Shin. Pemilihan warna terhadap kostum turut dilakukan agar personaliti Kento dan pelakon lain terserlah.
Lagu tema yang best
Setiap filem pasti mempunyai lagu tema yang menarik supaya penonton menikmati jalan cerita yang ingin disampaikan. Lagu Wasted Nights nyanyian One Ok Rock, dipilih sebagai lagu tema bagi filem Kingdom. Lagu yang mempunyai maksud yang mendalam ini menyeru setiap individu supaya tidak membuang masa dan harus segera mengejar cita-cita yang mereka inginkan.
Wasted Nights merupakan lagu yang sangat sesuai dengan jalan cerita filem ini kerana, Shin (Kento Yamazaki) tetap bersemangat dan berusaha untuk mengubah nasibnya daripada seorang yang miskin dan hamba kepada seorang jeneral. Lagu Wasted Nights ini diambil dari album terbaharu One Ok Rock, yang berjudul Eye of the storm.
So, apa yang korang semua tunggu-tunggu lagi! Jangan lupa tonton filem aksi pengembaraan, Kingdom arahan Shinsuke Sato di pawagam berhampiran korang pada 18 Julai 2019 ini. Kami yakin filem ini akan menepati selera filem aksi yang dinanti ramai!