Penyatuan semula kumpulan KRU selepas enam tahun pembubaran adalah demi pengubat kerinduan peminat mereka.
Artikel Berkaitan: KRU Kembali! Bakal Keluarkan Album & Buat Konsert Jelajah Untuk Peminat – ‘Ini Bukan Comeback…’
Artikel Berkaitan: Aiman Hakim Ridza & Yusry Sesat 32 Jam Dalam Hutan, Tak Jumpa Jalan Keluar?
Bukan gimik
Ketika ditemui OhBulan!, Datuk Norman Abdul Halim menjelaskan, pembuburan kumpulan itu dilakukan selepas adiknya Edry Abdul Halim menyatakan hasrat untuk berhijrah ke luar negara.
Pada awalnya kami tiada rancangan untuk bubar. Ketika persiapan konsert ulang tahun ke-25, Edry ada beritahu kami yang dia tidak mahu teruskan KRU. Dia ambil keputusan untuk pergi ke Manchester.
Pembubaran KRU dahulu bukanlah gimik pun. Kami kembali semula sebab Edry sendiri bersedia buat pengorbanan.
Dalam masa yang sama, Datuk Yusry Abdul Halim berkata, KRU sudah pun banyak melibatkan diri dalam pelbagai cabang seni.
Salah satu sebab kenapa kami berpecah dahulu kerana kami sudah tidak tahu apa lagi yang kami nak buat pada ketika itu. Kami sudah lakukan dan capai banyak perkara.
KRU berkata demikian ketika pelancaran video muzik single terbaharu mereka yang berjudul Voodoo di Courtyard Kuala Lumpur pada Rabu.
Demi peminat
Walau bagaimanapun, kumpulan yang popular dengan lagu Fanatik itu kemudian mengambil keputusan untuk kembali bergabung pada Mei tahun lalu .
Bila kita rujuk semula itu memang dah tiada tekanan, kita kembali bukan paksaan tetapi memang sebab kami nak buat.
Antara faktor untuk kami bersatu sebab Edry sanggup berkorban ulang-alik dari Manchester ke Malaysia walaupun dalam tempoh setahun. Dengan persetujuan itu maka kami ambil keputusan berkenaan.
Yusry dan Edry juga banyak berkongsi tentang muzik dan teknologi terkini.
Selain itu, menurut Edry, permintaan peminat juga merupakan salah satu sebab KRU kembali bersatu.
Tak nafikanlah, peminat pun menantikan kami tampil dengan lagu baru.
Tipulah sejak tinggal di luar negara, saya tak rindu sokongan dan perhatian peminat, antara sebab kami kembali pun untuk peminat juga.
Terdahulu, pada tahun 2018 KRU mengumumkan pembubaran selepas menjayakan konsert terakhir mereka yang berlangsung pada 6 Mei tahun yang sama.