berita

Kuantan Daerah Tertinggi Catat Rekod Dera & Abai Kanak-Kanak Di Pahang

December 4th, 2018 | by Arini Saleh
Kini Trending

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Pahang telah merekodkan sebanyak 236 kes penderaan dan pengabaian di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 sehingga Oktober 2019.

Zulkhairi Zainol Abidin selaku Pengarah JKM Pahang memberitahu menerusi Sinar Harian, Kuantan mencatat rekod dera dan abai kanak-kanak daerah tertinggi, ianya termasuk 104 kanak-kanak perempuan dan 48 kanak-kanak lelaki.

Pelbagai bentuk penderaan

Sumber gambar: Berita Harian

Rekod kes di Jerantut dicatatkan sebanyak 15 kanak-kanak perempuan dan lima kanak-kanak lelaki manakala jumlah ketiga tertinggi direkodkan di Maran sebanyak 12 kanak-kanak perempuan dan sembilan kanak-kanak lelaki.

Penderaan yang dimaksudkan adalah segala bentuk penderaan fizikal, seksual, emosi, pengabaian, eksploitasi pemerdagangan yang mungkin menjejaskan kesihatan, kehidupan dan maruah kanak-kanak.

Jenis penderaan kanak-kanak termasuklah fizikal, kecederaan tubuh badan yang dilakukan secara sengaja dan dilakukan oleh orang yang sepatutnya bertanggungjawab memberi perlindungan kepada kanak-kanak itu. Sebagai contoh perbuatan seperti memukul, mencucuh puntung rokok kepada tubuh kanak-kanak dengan sengaja.

Jelasnya Zulkhairi lagi, kategori penderaan seksual termasuklah perbuatan memaksa, mengugut atau memperdaya kanak-kanak untuk mengambil bahagian atau sebagai pemerhati dalam apa-apa bentuk aktiviti berkaitan seks bagi memuaskan nafsu seseorang.

Contohnya termasuklah meliwat, merogol pendedahan kepada bahan lucah kepada kanak-kanak tersebut.

Ganggu emosi kanak-kanak

Sumber gambar: News Hub

Perbuatan seperti mencaci atau menengking kanak-kanak secara berterusan dengan tidak memberikan kasih sayang dan perhatian sewajarnya pula boleh dikategorikan sebagai penderaan emosi.

Penderaan emosi ini boleh mengganggu dan memburukkan emosi serta perkembangan kanak-kanak. Begitu juga dengan pengabaian iaitu kegagalan ibu bapa atau penjaga menyediakan keperluan asas yang berpatutan kepada kanak-kanak.

Kesemua perbuatan dan kesalahan ini termaktub di bawah undang-undang Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman sekiranya didapati bersalah.

Justeru itu, JKM telah melancarkan kempen Hentikan Keganasan Terhadap Kanak-kanak, Kami Bukan Bebanan, Kami Adalah Amanah Tuhan serta menasihatkan orang awam untuk membuat aduan di talian Kasih 15999.

Kerjasama seluruh rakyat amat diharapkan untuk sama-sama bantu membendung jenayah penderaan kanak-kanak secara berperingkat dan dihapuskan secara keseluruhan.

Sumber: Sinar Harian

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×