Sudah menjadi trend masyarakat kini untuk berkongsi aktiviti harian, berita, gambar dan video di platform media sosial. Malahan, kuasa tular di media sosial juga dilihat sebagai strategi pemasaran yang paling berkesan. Berikutan daripada itu, TV9 kembalikan program ‘Sembang Viral’ musim baharu.
Bersiaran setiap hari Isnin
Bakal bersiaran pada setiap hari Isnin, jam 10:30 malam di TV9, Sembang Viral merupakan program bual bicara yang membincangkan isu-isu viral yang dikongsikan oleh netizen di media sosial daripada perspektif Islam secara santai bersama dengan ahli panel jemputan.
Dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor, program berdurasi 30 minit ini menampilkan ahli panel jemputan yang terdiri daripada pendakwah bertauliah seperti Ustaz Amin, peguam syarie dan pakar motivasi serta selebriti jemputan yang sesuai dengan topik yang dibincangkan.
Untuk musim baharu ini, Sembang Viral memperkenalkan segmen baharu ‘Netizen Tanya’ di mana Datuk Rosyam Nor akan membacakan soalan-soalan netizen berkaitan isu agama dan kehidupan menerusi laman media sosial rasmi TV9 iaitu @TV9Malaysia. Ahli panel jemputan akan memberikan penjelasan dan merungkai persoalan itu berdasarkan fakta dan panduan yang betul.
Topik ‘mempersendakan agama’
Episod pertama ‘Sembang Viral’ akan membincangkan topik ‘Mempersendakan Agama’ bersama-sama dengan ahli panel jemputan iaitu Ustaz Mohamad Amirul Amin Maula (Ustaz Amin) dan Caprice.
Sejak disiarkan di TV9, Sembang Viral berjaya mencuri perhatian penonton dan menerima sambutan yang sangat memberangsangkan. Ia mula bersiaran sebagai kapsul berdurasi 10 minit sebanyak 154 episod dan juga mempunyai edisi khas 6 episod selama satu jam di bulan Ramadan lepas yang diberi nama Sembang Viral Mega. Jadi, korang jangan lupa saksikan Sembang Viral Musim Ke-2 bermula 1 Ogos 2022 ini dan strim langsung secara HD di www.tonton.com.my.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV9, layari http://www.xtra.com.my/ dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV9Malaysia serta TikTok @TV9MalaysiaOfficial.