berita

Kurang Aktif & Semakin Lemah, Ibu Terkejut Anak 17 Bulan Maut Tertelan Bateri ‘Remote’ Televisyen

March 4th, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Foto: New York Post

Benarlah orang kata, malang tak berbau. Itulah ungkapan paling sesuai menggambarkan situasi yang dilalui keluarga ini apabila anak kesayangan yang baru berusia 17 bulan disahkan meninggal dunia akibat tertelan bateri alat kawalan jauh televisyen.

Difahamkan, insiden cemas tersebut dipercayai berlaku pada bulan Oktober hingga Disember tahun lalu.

Mangsa jadi pasif

Foto: New York Post

Memetik laporan daripada New York Post, ibu mangsa yang dikenali dengan nama Trista Hamsmith memaklumkan pada awalnya dia langsung tidak menyedari kejadian itu sehinggalah pada suatu hari, dia melihat anaknya semakin pasif dan kurang aktif berbanding sebelum ini.

Bukan itu sahaja, keadaan anaknya juga kelihatan semakin lemah dan sukar bernafas. Namun, tidak lama selepas itu barulah wanita ini tersedar bahawa bateri alat kawalan jauh televisyen di rumah mereka sudah hilang. Dia mula bimbang dan mengesyaki pasti bateri tersebut adalah salah satu punca yang membuatkan keadaan anaknya menjadi begitu.

Tertelan bateri ‘remote’ tv

Foto: New York Post

Trista telah membawa anaknya ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut dan hasilnya sangat mengejutkan. Doktor memaklumkan kanak-kanak malang terbabit tertelan bateri ‘remote’ televisyen sehingga menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasannya. Pada bulan Oktober tahun lalu, kanak-kanak terbabit telah menjalani pembedahan sebelum dibenarkan pulang.

Namun beberapa hari kemudian, dia sekali lagi dikejarkan ke hospital kerana mengalami komplikasi. Sejak daripada itu, kanak-kanak ini telah bergantung dengan bantuan alat pernafasan dan makan hanya menggunakan tiub. Tidak terhenti di situ, kanak-kanak ini juga dikatakan telah menjalani pembedahan lain dan pada 17 Disember 2020, dia disahkan meninggal dunia.

Dalam kesempatan itu, Trista menasihati ibu bapa supaya lebih berhati-hati dalam mengawasi anak-anak. Dia juga berharap agar pihak pengeluar mengeluarkan penutup peranti yang lebih selamat seperti membuat skru dan sebagainya supaya tidak membahayakan kanak-kanak.

Sumber: New York Post

SKIP THIS AD ×