Foto: Bethany Village Assisted Living
Pengorbanan insan bergelar ibu dan bapa memang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Hal ini kerana, merekalah yang bersusah payah membesarkan kita dan memberikan kehidupan yang terbaik buat anak-anak. Oleh itu, sebagai anak, kita perlu menjaga dan jangan sesekali mengguriskan hati mereka berdua.
Terbaru, Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas sempat berkongsi beberapa nasihat kepada orang ramai supaya menghargai jasa dan pengorbanan kedua ibu bapa. Malah, mereka turut berkongsi pengalaman menjaga warga emas di rumah rawatan orang tua tersebut.
Kurung ibu dalam sangkar
Foto: Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas
Berdasarkan perkongsian di Facebook, Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas memaklumkan mereka mula beroperasi sejak 20 tahun lalu dan sehingga kini lebih daripada 1000 orang warga emas telah menetap di pusat rawatan tersebut. Jelasnya lagi, mereka juga bercadang mahu membangunkan satu lagi tempat baharu yang boleh menampung seramai 200 orang penghuni.
Bermula dari rumah flat, pindah ke rumah teres, Alhamdulillah dapat bangunan yang lebih besar, boleh menampung lebih ramai warga emas dari tempat yang sebelumnya.
Bercerita dengan lebih lanjut, terlalu banyak kisah ‘hitam’ yang berlaku ketika si anak menghantar orang tua mereka di rumah jagaan ini termasuklah ada yang tergamak meninggalkan ibu mereka di sini hanya kerana anak-anak mendakwa wanita ini membawa ‘malang’ dalam perniagaan mereka.
Antara kes paling kejam kami terima, makcik yang dikurung dalam sangkar, sehingga membongkok makcik tu ikut bentuk sangkar. Hanya kerana mak mereka membuang najis merata, maka dikurung dalam sangkar.
Ada juga kisah, anak-anaknya bergelar. Malu dengan mak dan ditinggalkan di sini, kerana dahulu mak mereka perempuan kabaret. Ketika kematian makcik ini, kami masih ingat wajahnya bercahaya, bau harum semerbak. InshaAllah syurga menanti beliau.
Didakwa diabaikan anak dan menantu
Foto: Edisi Viral
Dalam kesempatan itu, rumah jagaan orang tua ini supaya berbaktilah kepada kedua orang tua selagi mereka masih bernyawa dan mohon keampunan daripada mereka. Tak dinafikan, hal ini secara tidak langsung membuka minda orang ramai bahawa betapa pentingnya menjaga dan menghargai pengorbanan ibu bapa.
Sementara itu, Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al Ikhlas ini terpanggil untuk memberi pendapat berhubung isu viral yang membabitkan seorang warga emas yang didakwa diabaikan oleh 9 orang anak kandungnya serta menantu. Malah, menantu wanita ini ada memberi respon berhubung perkara tersebut.
Nasihat kami, jangan kita respon dengan membuka aib mak ayah kita di sosial media. Menceritakan kisah silam mak ayah kita di media sosial tidak menjadikan kita lebih baik di pandangan mata orang lain. Biarlah Allah yang mengadilinya, kita semua tak layak nak menyalahkan mana-mana pihak.
Jelas wakil rumah jagaan orang tua ini, mereka berbesar hati untuk mengambil tanggungjawab menjaga wanita ini selain berharap agar segala urusan dipermudahkan.