Penyanyi dan penulis lagu berbakat, Adam dan Kat Roshan buat julung kali bekerjasama menerusi lagu terbaru mereka berjudul Hey U.
Hey U kolaborasi Adam E, Kat Roshan
Hey U yang merupakan hasil kerjasama Asyraf Nasir sebagai penulis lirik bersama serta Radityo dan Jayson Teoh sebagai penerbit mengisahkan tentang seorang wanita yang begitu mencintai pasangannya, manakala si lelaki pula berusaha mengubah sikap buruknya yang sering curang. Namun, akhirnya, perubahan yang dijanjikan tidak pernah menjadi kenyataan.
Apabila ditanya mengenai inspirasi di sebalik penulisan lirik, anak kepada legenda muzik Datuk Hattan iaitu Adam E menjelaskan bahawa ia sama sekali tiada kaitan dengan kisah percintaannya yang lalu.
Lagu Hey U ini tiada kena mengena dengan kisah saya tapi bagi saya lagu adalah ruangan untuk saya berangan. Saya boleh cakap apa-apa tapi tak bermakna saya maksudkan benda itu.
Sementara itu, Kat Roshan atau nama lengkapnya Katrina Cheng Roshan berkata Hey U turut mengupas tarikan dan ketahanan dalam hubungan yang penuh ketidaktentuan.
Saya menyampaikan lirik yang mencerminkan kekecewaan dan sindiran seorang wanita yang menyedari kecurangan pasangannya tetapi masih belum mampu melepaskannya.
Dalam pada itu, Kat menyifatkan kolaborasi bersama Adam menerusi lagu Hey U sebagai pilihan yang tepat, memandangkan suara Adam dilihat sangat serasi dengan genre lagu tersebut.
Adam dah lama dalam industri dan dikenali, jadi dengan kolaborasi ini saya juga dapat mencuba genre yang berbeza. Sebelum ini saya membawakan lagu genre balada dan kini mahu cuba genre seperti pop dan sebagainya.
Adam dan Kat Roshan berkata demikian ketika ditemui pada majlis bersama media yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada Khamis.
Penggambaran muzik video
Proses penggambaran video muzik Hey U dibuat di beberapa lokasi indah di Paris, Perancis dalam masa yang singkat. Adam menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan tetapi mencabar kerana mereka perlu bergerak dari satu tempat ke tempat lain dengan pantas.
Bagi Kat Roshan pula, suasana di Paris begitu mempesonakan sehingga mereka berusaha untuk merakamkan sebanyak mungkin pemandangan yang indah.
Kami hanya mempunyai satu setengah hari untuk merakam video muzik ini, jadi semuanya terasa spontan. Namun, saya sempat mengalami sedikit masalah kesihatan akibat makanan, tetapi saya berjaya menghabiskan penggambaran.
Video muzik Hey U diarahkan oleh Tobias Nash, yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Kat Roshan dalam MV lagu ‘I’m A Rebel’.
Hey U kini boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik utama.