Pelawak dan pelakon yang merupakan ahi kumpulan Senario, Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet sebelum ini memaklumkan dirinya menanam impian untuk meninggal dunia di Madinah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi’.
Apakah kelebihan yang bakal diperoleh seseorang Muslim itu sekiranya mereka meninggal dunia dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi’?
Jadi, untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini, sama-sama kita hayati jawapan yang dikeluarkan oleh laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Cita-Cita Saya Dari Kecil’ – Lan Pet Pet & Keluarga Bakal Berhijrah Ke Madinah, Berhasrat Dikebumi Di Perkuburan Baqi
Kelebihan meninggal dunia di Madinah
Gambar sekadar hiasan
Menerusi soal jawab bersama seorang pengguna, portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa antara kelebihan seseorang itu sekiranya meninggal dunia di Madinah ialah dia akan diberikan syafaat oleh Rasulullah SAW pada hari Akhirat kelak.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud jika sesiapa yang mampu untuk meninggal dunia di Madinah, maka hendaklah dia melakukannya:
Siapa yang berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah, maka meninggallah di sana kerana aku akan memberi syafaat kepada mereka yang mati di sana.
Namun, berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah itu bukanlah bermaksud seseorang itu melakukannya dengan meminta untuk dimatikan sewaktu berada di Madinah dalam tempoh masa yang singkat.
Menurut Syeikh al-Mubarakfuri, adalah digalakkan untuk seseorang itu tinggal dan menetap di Madinah sehingga tiba waktu kematiannya yang kemudiannya dikebumikan di Perkuburan Baqi’ sekiranya mampu untuk melakukan demikian.
Dapat syafaat Rasulullah SAW
Gambar sekadar hiasan
Selain itu, antara kelebihan lain jika seseorang itu meninggal dunia di Madinah ialah urusan solat jenazah mereka akan dihadiri oleh jemaah yang ramai.
Oleh yang demikian, doa yang dipinta dan dipohon ketika solat tersebut akan diaminkan oleh ramai jemaah yang rata-ratanya daripada kalangan orang yang beriman dan soleh.
Namun begitu, kelebihan tersebut tidak menjaminkan seseorang yang dikebumikan di Perkuburan Baqi’ untuk masuk ke dalam syurga kerana ia tetap bergantung kepada keimanan seseorang itu kepada Allah SWT serta amal soleh yang dilakukannya.
Secara kesimpulan, meninggal dunia di Madinah dan dikebumikan di Perkuburan Baqi’ mempunyai kelebihan tertentu yang bergantung juga dengan keimanan dan amal solehnya. Antara kelebihannya adalah seperti:
1. Orang yang meninggal dunia di Madinah dan dikebumikan di Perkuburan Baqi’ dalam keadaan beriman akan diberikan syafaat oleh Rasulullah SAW.
2. Dikebumikan di tempat yang dimuliakan iaitu Madinah dan berdekatan dengan maqam ahlul bait Rasulullah SAW dan para Sahabat RA.
3. Mengikuti anjuran Rasulullah SAW supaya jika mampu untuk meninggal dunia di Madinah, maka hendaklah dia melakukannya.
4. Penghuni Baqi’ didoakan keampunannya oleh Rasulullah SAW pada hayatnya, yang disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai tempat kediaman kaum yang beriman.
5. Solat jenazah dihadiri oleh jemaah yang ramai daripada kalangan orang yang beriman kepada Allah SWT dan soleh.
Sekadar info, Perkuburan Baqi’ merupakan perkuburan yang terletak berhampiran dengan Masjid Nabawi di Madinah al-Munawwarah.
Antara yang disemadikan di sana ialah isteri-isteri, cucu-cucu dan puteri-puteri kesayangan Rasulullah SAW serta para sahabat yang mulia.