Didakwa seorang anti vaksin, pelakon Lana Nordin menegaskan dia bukan seperti yang diperkatakan tetapi mempunyai alasan tersendiri.
Artikel Berkaitan: ‘Kita Tengok Berapa Duit Yang Dia Ada’ – Suami Lana Nordin Akan Hantar Surat Tuntutan Kepada Michael Ang
Anak sakit jantung
Tampil menjelaskan, Lana, 41, berkata anak bongsunya, William Daud McKienzie mempunyai masalah jantung sejak lahir dan sehingga sekarang masih menyusu badan.
Oleh sebab itu, dia terpaksa menangguhkan pengambilan vaksin Covid-19 bagi mengutamakan keselamatan anaknya.
Saya bukan tak nak ambil, tetapi anak saya ada masalah kesihatan, dia sakit jantung sejak lahir. Saya pula masih menyusukan dia sampai November nanti.
Saya pun ada surat daripada doktor dan bukan suka-suka ingin menolak vaksin. Nyawa anak saya lebih penting dan jadi keutamaan sekarang ni.
Ambil vaksin di AS
Bakal pulang ke Amerika Syarikat (AS) Sabtu ini, pemilik nama Mazlina Hasan Nordin dan suami, David McKienzie menyatakan mereka akan mendapatkan suntikan seawal tahun hadapan.
Katanya, dia ingin memastikan vaksin itu sepenuhnya selamat selain melepasi ujian klinikal.
Saya akan ambil di AS nanti bersama suami. Tunggulah mungkin awal tahun depan ke. Bukan tak nak ambil langsung. Benda nak masuk dalam badan dan saya kena pastikan betul-betul selamat digunakan serta melepasi ujian klinikal.
Saya ada sebab tersendiri kenapa tak nak ambil vaksin ketika ini. Itu hak peribadi dan hak asasi saya sebagai rakyat. Tiada siapa boleh paksa.
Dalam pada itu, Lana mendedahkan dia yang menarik diri daripada meneruskan penggambaran drama Kekasih Hati Mr. Bodyguard bukan disebabkan belum menerima sebarang vaksin Covid-19.
Terdahulu, nama Lana menjadi buah mulut netizen dan hangat diperkatakan kerana mengkritik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Dia turut dituduh sebagai anti vaksin dan cuba menghasut orang lain dengan mempersoalkan keberkesanan vaksin Covid tersebut.
Sumber: Kosmo