Laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) membabitkan penyanyi, Adira Suhaimi dan suaminya Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red gagal mencapai kata sepakat untuk berdamai berhubung proses penceraian mereka.
Artikel Berkaitan: Adira Suhaimi Jawab Dakwaan Sepakat Dengan Madu Angkat Kaki ‘Tinggalkan’ Datuk Red?
Artikel Berkaitan: Datuk Red Bakal ‘Kehilangan’ Adira Suhaimi & Isteri Pertama Serentak? – ‘Cuma Kebetulan’
Peringkat Hakam
Dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat hari ini, laporan JKP tersebut menyatakan kedua-dua pihak gagal berbaik selain berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) terhadap pasangan terbabit.
Meskipun laporan JKP gagal, Datuk Red, 43, kekal dengan pendiriannya tidak mahu menceraikan isterinya, manakala Adira tetap berpendirian mahu berpisah.
Justeru Hakim Syarie, Abdul Hadi Umar kemudian menetapkan 24 April ini supaya kes ke peringkat seterusnya iaitu hakam.
Semasa prosiding JKP, Datuk Red diwakili peguam syarie Muhammad Akmal Amzan manakala Adira diwakili peguam syarie Nor Saidah Zakaria.
Kedua-dua peguam syarie yang mewakili pasangan itu turut mengesahkan kes seterusnya ke peringkat hakam.
Sebelum ini semasa proses JKP itu, Datuk Red melantik rakannya sebagai wakil JKP manakala Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 33, selaku melantik kakaknya Emma Suhaimi bagi wakil JKP berkenaan.
Terdahulu, pada 25 Oktober tahun lalu, Adira telah memfailkan penceraian ke atas suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor kerana tiada persefahaman.
Untuk rekod, Adira pernah memfailkan penceraian pada tahun 2019 namun menarik semula permohonan itu demi anak-anak.
Imbas kembali, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun.