berita

Larian Berhalangan Ejen Ali: Misi Ejen Rush Akan Berlangsung 1 Disember Ni!

November 28th, 2019 | by Noraniza
Kini Trending

Perhatian Ejen, jangan ketinggalan untuk menyertai misi terkini EJEN ALI! Primeworks Studios dan WAU Animation berganding bahu untuk menjayakan Ejen Ali: Misi Ejen Rush, acara larian berhalangan sejauh 5 kilometer yang akan diadakan buat julung kalinya dalam usaha mempromosikan filem animasi EJEN ALI THE MOVIE, yang bakal ditayangkan pada 28 November 2019, Khamis ini.

Acara larian yang akan berlangsung di The West Garden, IOI City Mall, Putrajaya ini akan bermula pada jam 6.00 pagi sehingga jam 11.30 pagi dengan anggaran peserta seramai 3,000 orang yang terdiri daripada selebriti, personaliti media sosial (KOL’s), rakan media dan peminat-peminat Ejen Ali.

Larian akan bermula dan berakhir di garisan penamat West Entrance, IOI City Mall Putrajaya, berhampiran dengan lokasi pentas utama di mana pelbagai aktiviti hiburan menarik bakal diadakan.

Antara aktiviti yang akan menghangatkan lagi pentas utama pada hari tersebut ialah persembahan istimewa daripada penyanyi muda yang kian mencipta nama, Ismail Izzani. Selain dari itu, peserta larian juga berpeluang untuk memenangi 100 tiket percuma bagi menonton filem Ejen Ali The Movie dan beberapa barangan istimewa Ejen Ali semasa sesi cabutan bertuah.

Semua ‘Ejen’ yang menyertai Ejen Ali: Misi Ejen Rush ini perlu menempuh empat cabaran litar berhalangan yang diadaptasi daripada teras utama MATA iaitu Kombat, Tekno, Inviso dan Neuro. Peserta larian juga akan dilengkapi dengan ‘Kit Larian Ejen’ yang terdiri daripada kemeja-T, beg drawstring, bib larian, sijil digital, dan medal yang akan diberikan di garisan penamat.

Ejen Ali Misi: Ejen Rush diadakan sempena tayangan filem EJEN ALI THE MOVIE, yang bakal menggegarkan pawagam serentak pada 28 November 2019 di Malaysia, Singapura dan Brunei.

EJEN ALI THE MOVIE mengisahkan tentang Ali, seorang budak berusia 12 tahun yang telah direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.

Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu bahawa dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa (IRIS – Infinity Retinal Intelligence System).

Gajet tersebut telah diubahsuai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain. Inovasi baharu ini dipersoalkan oleh Ali apabila dia merasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.

Pada saat itu, dia didatangi oleh seorang individu misteri yang mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Maka bermulalah pengembaraan baharu Ejen Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.

The following two tabs change content below.

Noraniza

Senior Head Of Sponsored Content, Malay Division at Rev Asia Berhad
People will hate you, rate you, shake you and break you. But how strong you stand is what makes you! :)