berita

Layan Seks Bebas Ketika ‘Business Trip’, Lihat Apa Yang Terjadi Kepada Ahli Perniagaan Ini…

August 5th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seperti yang kita sedia maklum, hubungan seks bebas merupakan salah satu masalah sosial yang sering terjadi dalam kalangan remaja mahupun golongan dewasa yang sudah berkahwin. Walaupun seks bebas ini mempunyai banyak kesan buruk terhadap kesihatan tetapi masih ramai lagi yang tidak mengendahkannya.

Seperti kisah yang dikongsikan seorang doktor, Dr Nurul Yaqeen di laman Facebooknya dengan menceritakan pengalamannya merawat seorang individu yang ‘menderita’ angkara seks bebas.

Mengaku lakukan seks bebas

Sekadar gambar hiasan

Kerana amalkan seks bebas, lelaki ini menderita paru-paru bocor dan hampir maut. Pagi itu, ketika melakukan rondaan di wad ICU, seorang lelaki dirujuk kepadaku kerana masalah paru-paru bocor yang rumit. Sudah beberapa minggu tiub dimasukkan ke bahagian kiri dan kanan paru-parunya, namun begitu, kebocoran di kedua-dua belah paru-paru nya tidak juga sembuh. Beliau masih lagi memerlukan bantuan mesin pernafasan di ICU kerana level oksigen masih terlalu rendah di dalam badannya.

Sejarah lanjut menunjukkan bahawa Encik W (bukan nama sebenar) adalah seorang ‘businessman’ berusia lewat 40-an yang banyak berurusan di luar negara. Beliau mengaku telah melakukan banyak aktiviti seks bebas ketika ‘business trip’ nya. Beliau telah disahkan menghidap penyakit AIDS (Acquired Immunodeficiency Syndrome) disebabkan oleh virus HIV (Human Immunodeficiency Virus), yang didapati akibat dari amalan seks bebasnya itu dan ini sekaligus menyebabkan paru-paru nya dijangkiti penyakit ‘Pneumocystis Carinii Pneumonia’ (PCP) yang kini turut dikenali sebagai ‘Pneumocytis Jerovecii Pneumonia’ (PJP).

Paru-paru bocor

Penghidap penyakit PCP ini akan mudah mendapat masalah paru-paru bocor kerana, tisu paru-paru nya sudah dilemahkan oleh penyakit ini. Rawatan untuk penyakit ini adalah ubat antibiotics selama 3 minggu, disertai ubat steroid. Setelah 3 minggu menerima rawatan, paru-paru bocornya masih juga belum sembuh. Pakar bedah telah dirujuk kerana masalah kebocoran paru-paru yang tidak selesai, namun begitu, kerana keadaannya yang tidak stabil, dengan jangkitan kuman yang serius, ditambah dengan keperluan oksigen yang tinggi menggunakan bantuan mesin pernafasan, kondisinya tidak sesuai untuk dibedah.

Beberapa minggu terus berlalu, akhirnya keperluan oksigennya berjaya juga diturunkan, sehingga akhirnya bantuan mesin pernafasan tidak diperlukan lagi olehnya. Tiub di paru-paru nya juga telah berjaya diganti dengan tiub yang boleh dibawa pulang ke rumah (Pneumostat Heimlich valve) (lihat gambar), kerana paru-paru bocornya masih belum berjaya pulih sepenuhnya.

‘Segera lah kembali ke jalan yang benar’

Sekadar gambar hiasan

“Alhamdulillah, berjaya juga kamu keluar dari masalah paru-paru kamu yang kritikal, dan setelah beberapa minggu kamu di ICU. Tahniah ! Jagalah kesihatan paru-paru kamu dengan baik, kerana masalah paru-paru bocor kamu ini belum pulih sepenuhnya. Kita akan jumpa kamu di klinik dalam masa 2 minggu untuk melihat perkembangan paru-paru bocor kamu ini. Berhentilah dari tabiat amalan seks bebas ini, demi keselamatan dan kebahagiaan isteri dan anak-anak kamu.

Saya nasihatkan isteri dan anak-anak kamu juga disaring dengan ujian HIV, untuk memastikan samada mereka ada atau tidak penyakit AIDS yang mungkin didapati dari kamu”, kataku sebelum Encik W pulang ke rumahnnya. “Baiklah doktor. Saya sangat insaf dengan keadaan kritikal paru-paru saya ini. Saya juga tidak menyangka bahawa saya akan berjaya keluar dari ICU.

Saya benar-benar ingatkan yang saya akan meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya di ICU tempoh hari. Mungkin Tuhan masih menyayangi saya dan ingin memberikan peluang kedua untuk saya berubah, sekaligus menebus kesalahan saya ini”, jelas Encik W mengakhiri sesi konsultasiku di hari itu. Penyesalan jelas terlihat di wajahnya. Ya benar. Pintu taubat masih terbuka. Segeralah kembali ke jalan yang benar. Doaku dalam hati. Langkah segera ku atur perlahan meninggalkan wad.

Sumber: Dr Nurul Yaqeen

SKIP THIS AD ×