berita

Lebih 20 Tahun Bersiaran, Ini Lima Pengacara Melodi Yang Paling Diingati

August 3rd, 2022 | by Amirul Asraf
Shout Out!

Telah bersiaran sejak 1993, Melodi merupakan rancangan hiburan nombor 1 di Malaysia. Disiarkan setiap hari Ahad, rancangan ini memaparkan pelbagai kisah menarik dan ‘panas’ mengenai artis tempatan mahupun antarabangsa. Bukan itu sahaja, hos rancangan Melodi turut menjadi tumpuan ramai kerana bakat mereka mengendalikan program tersebut dikatakan sangat versatil.

Antara nama besar yang pernah menjayakan Melodi termasuklah Awal Ashaari, Zizan Razak, Fara Fauzana, Wahid dan Ogy Ahmad Daud.

Pengacara Melodi paling lama

1. Fauziah Ahmad Daud

Fauziah Ahmad Daud atau Kak Ogy antara otai yang pernah menjadi pengacara Melodi sejak awal rancangan itu diterbitkan. Kak Ogy mula menjadi pengacara Melodi pada tahun 1993 bersama Mahadzir Lokman. Oleh kerana bakatnya yang sungguh luar biasa dalam bidang pengacaraan, Kak Ogy diberi amanat untuk mengendalikan program tersebut sehingga tahun 1999. Sepanjang berkhidmat sebagai pengacara Melodi, Kak Ogy pernah digandingkan bersama Yusmal Ghazali, Saiful Apek dan Haliza Misbun.

2. Awal Ashaari

Ahmad Awaluddin bin Ashaari atau lebih mesra disapa sebagai Awal Ashaari merupakan artis lelaki yang paling lama menjadi pengacara Melodi. Awal mula mengacara program tersebut pada tahun 2010. Pada masa tersebut, dia digandingkan dengan Dira Abu Zahar dan Zizan Razak. Karier Awal sebagai pengacara Melodi diteruskan sehingga 2017. Sepanjang tempoh tersebut, Awal sempat berganding dengan beberapa pengacara yang lain. Antaranya, AG Azmeer, Sherry Alhadad dan Zulin Aziz. Pada tahun 2020, Awal membuat kemunculan semula bersama Janna Nick. Mereka memikul tanggungjawab sebagai pengacara sehingga bulan Julai 2021.

3. Zizan Razak

Siapa sangka, pelawak, Zizan Razak juga pernah diberi peluang dan tanggungjawab untuk mengacara program hiburan nombor 1 Malaysia. Zizan mula bersiaran bersama Melodi pada tahun 2010. Telatah Zizan yang kelakar membuatkan para penonton masih mahukannya sebagai pengacara Melodi pada tahun 2011 sehinggalah 2014. Sepanjang penglibatan bersama Melodi, Zizan pernah berganding dengan Awal Ashaari, Dira Abu Zahar dan AG Azmeer.

4. Fara Fauzana

Sebut sahaja Fara Fauzana aka Fafau, pasti korang teringat cara dan gayanya ketika mengacara Melodi bersama Wahid Senario pada tahun 2005 sehingga 2009. Ayat ‘tingkatkan prestasi, kurangkan kontroversi dan berdiri di atas bakat sendiri’ ini pasti membuat semua penonton Melodi terngiang-ngiang sehingga ke hari ini. Selain menjadi penyampai radio, kejayaan Farah dalam bidang pengacaraan menaikkan nama Melodi untuk berada dalam kelasnya yang tersendiri. Farah dan Wahid berjaya memberi impak positif kepada rancangan hiburan Melodi sepanjang menjadi pengacara.

5. Wahid (Senario)

Selain Zizan Razak, Wahid Senario antara pelawak yang berjaya menambat hati para penonton setia rancangan Melodi. Berganding bersama Fara Fauzana sejak awal sehingga ke akhir, penonton meluahkan rasa suka dan selesa melihat gaya Wahid yang bersahaja ketika mengendalikan rancangan tersebut.

Tiga dekad bersiaran

Pada 4 Julai yang lalu, TV3 mengumumkan Ain Edruce telah dipilih sebagai pengacara program Melodi yang baharu bagi menggantikan Nabila Huda. Menurut penerbit Melodi, Michelle Wee, pemilihan Ain adalah sesuai dengan ‘DNA’ program hiburan popular itu selain mudah memberikan kerjasama.

Terbaru, setelah bersiaran selama tiga dekad, Melodi sekali lagi membawakan penampilan pengacara terbaharunya bermula 7 Ogos ini. Bagi mengetahui siapa yang bakal digandingkan bersama Ain Edruce, ikuti rancangan ini pada setiap Ahad, pada 12.30 tengah hari hanya di TV3! Korang rasa siapa?

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×