RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) sekali lagi mengekalkan prestasi cemerlang apabila lebih 50 usahawan Titanium dibawah bimbingan mereka berjaya mencapai jualan dari RM10 juta hingga RM500 juta pada tahun 2024.
Kejayaan selama empat tahun berturut-turut ini memperlihatkan pencapaian yang luar biasa RichWorks dan usahawan mereka dalam dunia perniagaan, walaupun berada dalam persekitaran yang semakin kompetitif.
Bimbingan berterusan bantu usahawan capai kejayaan
Menurut Presiden dan Pengasas RichWorks Group, Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman, kejayaan tersebut dicapai melalui pendekatan berstruktur dan bimbingan berterusan kepada usahawan yang berada di bawah naungan RichWorks.
Beliau menegaskan bahawa pencapaian ini bukanlah satu kebetulan tetapi hasil daripada usaha dan tindakan berterusan para usahawan dalam mengikuti panduan untuk memenangi pasaran.
“Alhamdulillah, usahawan-usahawan ini datang dari pelbagai industri di Malaysia dan telah menjadi pilihan ramai. Semua ini bermula dengan keinginan mereka untuk berjaya dan disusuli dengan tindakan yang berterusan berdasarkan bimbingan yang diberikan,” katanya ketika berucap pada Inner Circle Meeting – Titan Business Leadership Awards 2025, yang berlangsung di Melaka.
224 usahawan diraikan dalam majlis Titan Business Leadership Awards 2025
Meraikan pencapaian para usahawan, RichWorks telah memberikan anugerah kepada 224 usahawan dari 198 perniagaan, kerana telah menunjukkan prestasi luar biasa sepanjang tahun 2024.
Tidak ketinggalan, seramai 173 kakitangan (ahli Titanium) turut menerima anugerah atas sumbanganbesar mereka dalam membantu syarikat mencapai kejayaan.
Dalam majlis tersebut, Prof. Datuk Wira Dr. Azizan Osman turut mengumumkan penubuhan RichWorks Consulting Group Sdn. Bhd.(RCG), sebuah agensi perundingan strategik yang memfokuskan sokongan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berpendapatan tinggi di Malaysia.
RCG berhasrat untuk menyediakan penyelesaian komprehensif dan berimpak tinggi untuk PKS, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh ASEAN.
RCG mahu jadi peneraju syarikat perundingan PKS terkemuka di ASEAN
Menurutnya RCG adalah hasil evolusi RichWorks sejak 2008 dalam membimbing dan melatih usahawan di negara ini. RCG akan menyokong PKS yang sudah berjaya mencapai jualan lebih RM1 juta setahun dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih mendalam, termasuk analisis prestasi operasi dan kewangan, pembangunan model perniagaan berimpak tinggi, serta kepimpinan untuk mengoptimumkan operasi dan strategi pertumbuhan.
“Matlamat kami adalah untuk menjadikan RCG sebagai peneraju syarikat perundingan PKS terkemuka di ASEAN dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” jelasnya.
RichWorks juga turut mengumumkan penganjuran program khas Business Success Bootcamp (BSB) yang akan diadakan pada 19 Februari 2024. Program ini bertujuan mempersiapkan usahawan untuk menghadapi sembilan krisis yang dijangka berlaku sepanjang tahun ini.
Bagi yang berminat, maklumat lanjut mengenai BSB boleh didapati di www.richworks.com/bsb.
Terus kekal cemerlang, RichWorks membuktikan bahawa mereka adalah peneraju yang telah berjaya membantu usahawan Malaysia meraih kejayaan luar biasa, di mana mereka menyasarkan lebih 500 PKS yang dilatih bakal mencapai jualan lebih RM10 juta menjelang tahun 2030.