Umum mengetahui bahawa jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei telah mengumumkan persaraan selepas 19 tahun berkecimpung dalam dunia sukan. Persaraan Chong Wei dari dunia sukan ternyata memberi kesan yang mendalam buat kem badminton kebangsaan.
Menerusi laporan Berita Harian, bekas jurulatih perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek, berpendapat bahawa persaraan pemain badminton tersebut mampu memberikan kesan yang baik dalam mengembalikan kegemilangan sukan itu.
Mampu beri layanan yang adil
Menurut Rashid, selepas ini semua pemain akan mendapat layanan yang adil daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Ini kerana, sebelum ini fokus utama diberikan kepada Lee Chong Wei, selaku pemain nombor satu dunia negara.
Apabila Chong Wei sudah tiada, situasi kini berubah yang mana pemain muda pastinya akan diberi lebih keutamaan. Dulu, semuanya adalah mengenai Chong Wei memandangkan dia seorang saja yang mampu menjanjikan kejayaan buat skuad badminton. Jadi, saya harap pemain muda yang ada sekarang ambil peluang dengan ketiadaan Chong Wei ini. Buktikanlah kemampuan sebenar mereka.
Dia perlu memenangi gelaran lebih besar
Selaku pemain yang menghuni ranking ke-20 dunia, Lee Zii Jia merupakan harapan baru negara untuk meraih gelaran juara dalam kejohanan yang lebih besar bagi mengekalkan reputasinya itu. Walaupun telah meraih kemenangan di Terbuka Taiwan tahun lalu, dia perlu berusaha keras mencapai kejayaan yang lebih besar.
Dia sudah menang Terbuka Taiwan tahun lalu, bagi membuktikan kemenangannya itu bukan sekadar nasib, dia perlulah cuba memenangi satu lagi gelaran lebih besar. Ini penting untuk dia juga bagi membuktikan dirinya layak untuk memegang status itu. Dia sendiri perlu tunjuk azam dan kemahuan yang tinggi.
Sumber: Berita Harian