Seorang wanita berusia 30 tahun ditemukan tertiarap di atas anak tangga rumah dalam keadaan tidak bernyawa, pada 30 Julai lalu di Indonesia.
Mati dibunuh adik kandung?
Memetik laporan Tribunnews, kematian mangsa hanya disedari oleh pengawal keselamatan di kawasan perumahan tersebut selepas melihat pintu pagar rumah mangsa terbuka selama beberapa hari. Malah bungkusan barangan yang dibeli secara atas talian juga tidak diambil dan terbiar di luar rumah.
Disebabkan itu, pengawal keselamatan terbabit bersama dua lagi individu bertindak memanggil sambil mengetuk pintu rumah mangsa namun tidak menerima sebarang respon. Tiba-tiba pintu kayu itu terbuka sendiri dek ketukan tersebut.
Semasa melakukan pemeriksaan, mereka menemui sosok tubuh seorang wanita tertiarap di atas tangga anak dapur. Lebih mengejutkan apabila mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak bernyawa selain terdapat wayar pengecas laptop terlilit di leher mangsa.
Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dibunuh oleh adik kandungnya yang berusia 26 tahun akibat masalah wang kerana terjebak dengan hutang.
Sumber: Tribunnews