Nekad berjalan kaki untuk pulang ke kampung halaman, seorang lelaki dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan. Bekas pengawal keselamatan itu dikatakan mahu pulang ke Kuala Terengganu dari Segamat Johor.
Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah – SPJ Malaysia, Ustaz Rafie Zainal menerima panggilan daripada pihak hospital untuk menyempurnakan proses pengebumian.
Jalan kaki dari Segamat ke Kuala Terengganu
Sekadar gambar hiasan
AJAL DI PERTENGAHAN JALAN…
“Sebentar tadi saya baru menerima panggilan dari Jabatan Forensik Hospital Tunku Ampuan Afzan, Kuantan yang meminta bantuan SPJM untuk menguruskan satu jenazah Covid-19.
Arwah dikatakan bekas pengawal keselamatan di Hospital Segamat, Johor dan menetap di sana secara sendirian. Keluarganya berada di Kuala Terengganu.
Waris memaklumkan yang arwah telah berhenti kerja dan berniat untuk mencari pekerjaan lain di sana. Namun hajatnya terhenti kerana arahan PKP telah bermula pada pertengahan bulan Mac lalu.
Dia tidak boleh pulang ke kampung kerana tidak mempunyai kenderaan dan perkhidmatan pengangkutan awam pula tidak beroperasi.
Setelah sekian lama menunggu PKP masih juga belum berakhir, arwah mengambil keputusan untuk berjalan kaki sendiri dari Segamat, Johor menuju ke Kuala Terengganu.
Ditemui meninggal dunia di Muadzam Shah
Sekadar gambar hiasan
Malangnya ketika dia berada di kawasan Muadzam Shah, arwah ditemui meninggal dunia di tepi jalan. Jenazahnya dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk prosedur bedah siasat. Oleh kerana dibimbangi membawa penyakit Covid-19, jenazah dibawa pula ke Hospital Tunku Ampuan Afzan, Kuantan dan di sana dia disahkan positif Covid-19.
Warisnya dari Kuala Terengganu telah dihubungi dan telah berada di Kuantan. Namun mereka tidak berkemampuan untuk membayar kos menguruskan jenazah tersebut yang mengenakan caj paling rendah sebanyak RM 1500.
Oleh sebab itu, pihak hospital menghubungi SPJM untuk membantu waris menguruskan jenazah tersebut.
Memandangkan ini adalah kali pertama pihak SPJM Negeri Pahang terlibat dalam kes Covid-19, maka pihak SPJM Pusat akan bertolak ke Kuantan pada malam ini bagi membantu skuad di sana.
Jenazah akan diuruskan pada awal pagi esok dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh salurkan ke akaun rasmi pertubuhan:
PERTUBUHAN SKUAD PENGURUSAN JENAZAH MALAYSIA (PPM-026-14-24012018)
CIMB: 8603-48-9285
BSN: 1410-0410-0030-6186
Semoga segala urusan dipermudahkan Allah dan semoga Allah merahmati dan melimpahkan rezeki kepada setiap penyumbang yang budiman. Aamiin.”
SPJ MALAYSIA KE ARAH PENGURUSAN JENAZAH PATUH SYARIAH PROFESSIONAL ANTARABANGSA!
Akhukum fillah;
Ustaz Rafie Zainal – Undertaker
Skuad Pengurusan Jenazah – SPJ Malaysia
Majlis Usrah Nur Fattah
013-322 7937 (24 jam berkhidmat untuk ummah)
Sumber : Muhammad Rafieudin Zainal Rasid