berita

‘Lelaki Kahwin Remaja Perempuan Ibarat Jenayah Seksual ‘ – Menteri

September 24th, 2018 | by Shafika
Isu & Kontroversi

Baru-baru ini kes kanak-kanak bawah umur berkahwin dengan lelaki dewasa menjadi perbualan hangat netizen. Malah pihak berkuasa juga memilih untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada sekurang-kurangnya berumur 18 tahun.

Isu terbabit juga menerima pelbagai pendapat. Ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak. YB Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah, memberi responnya mengenai isu tersebut menerusi akaun Facebook miliknya.

Perbincangan perlu dilihat melalui semua aspek

REMAJA PEREMPUAN (DAN LELAKI) SEHARUSNYA DIGALAKKAN BELAJAR LEBIH TINGGI, BUKAN DIGALAKKAN BERKAHWIN PADA USIA REMAJA

1. Beberapa hari ini, heboh negara kita membincangkan had umur yang seorang remaja perempuan (dan lelaki) yang sesuai dibenarkan berkahwin. Saya turut ditanya pendapat saya tentang isu ini.

2. Perbincangan ini tidak seharusnya mengambil latar belakang religius atau hak membuat pilihan semata-mata, tetapi juga psikologi dan kemapanan ekonomi remaja yang dikahwinkan atau yang berkahwin itu.

Mampukah menempuhi cabaran ekonomi keluarga

3. Jika sepasang remaja dibenarkan berkahwin atas kemahuan mereka atau kemahuan pihak yang lain, dan tanpa peluang membina kompetensi diri melalui pendidikan, apakah mereka ini akan dapat menempuhi cabaran ekonomi keluarga dalam usia semuda itu?

4. Sedang yang berkerjaya dan berpendapatan RM4000 setiap bulan juga mengeluh kerana kos sara hidup yang semakin tinggi, apakah mungkin pasangan remaja itu dapat melakukan yang lebih baik dalam menyara kos sara hidup keluarga? Saya khuatir, jika perkahwinan remaja terus digalakkan, maka daftar e-Kasih, iaitu bank data rakyat termiskin akan terus meningkat setiap tahun kerana ketidakupayaan pasangan remaja yang berkeluarga itu untuk membina kemandirian ekonomi mereka.

Perlu ada daya kompetensi diri

Menerusi posting tersebut, beliau juga turut mahu menggalakkan daya kompetensi dikalangan remaja supaya mereka akan lebih untuk berdikari.

5. Kita seharusnya menggalakkan pembudayaan kompetensi diri di kalangan remaja, bukannya menggalakkan mereka mendaftarkan diri menjadi penerima bantuan pembangunan rakyat termiskin pada usia yang begitu muda.

Satu jenayah seksual melalui perkahwinan

6. Jika seseorang lelaki dewasa pula memilih mengahwini seorang remaja perempuan, saya sama sekali tidak dapat memahami total rasional keputusan si lelaki tersebut. Untuk ini, saya cenderung bersetuju dengan pendapat yang mengatakan ini seolah-olah memperakukan jenayah seksual melalui perkahwinan.

Semoga berjaya

7. Hari ini merupakan hari pertama peperiksaan UPSR di seluruh negara. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada semua murid yang menduduki peperiksaan ini dan mendoakan kejayaan mereka menjadi warga dewasa yang berkualiti. Saya berharap adik-adik ini memilih (dan dibimbing untuk memilih) melanjutkan pelajaran ke tahap tertinggi yang mereka mahu capai.

8. Membayangkan adik-adik perempuan yang hari ini mengambil peperiksaan UPSR berkahwin dua tahun kemudian adalah satu insiden yang menyuramkan.

Mahu melihat lebih ramai wanita berjaya

9. Saya berpendapat mereka ini, remaja perempuan (dan lelaki) seharusnya, dan sewajar-wajarnya, digalakkan belajar setinggi mana yang boleh ke kampus-kampus pendidikan, bukannya digalakkan berkahwin pada usia remaja.

10. Saya ingin melihat lebih ramai wanita menjadi profesional, menjadi Perdana Menteri atau Ketua Menteri, menjadi semula Gabenor Bank Negara, menjadi pentadbir awam dan korporat yang berwibawa, usahawanita dan aktivitis yang unggul pada masa hadapan, yang tidak lagi bercakap tentang peratusan kouta wanita dalam penyertaan pelbagai bidang kerana sememangnya mereka lebih bijaksana dan berwibawa, dari kalangan adik-adik remaja perempuan yang menduduki peperiksaan UPSR hari ini.

11. Bukannya ibu-ibu muda yang mengunjungi pejabat-pejabat kebajikan dalam tempoh hanya 10 tahun selepas mereka selesai menduduki peperiksaan UPSR kerana mereka dinafikan peluang, sokongan dan bimbingan untuk membuat pilihan yang lebih baik di usia muda remaja mereka.

Pilihlah pasangan yang sebaya

Tambahnya, beliau menasihati lelaki dewasa agar memilih untuk berkahwin dengan pasangan yang dewasa juga.

12. Buat rakan-rakan lelaki dewasa, berkahwinlah dengan seorang wanita yang dewasa juga. Anda adalah seorang lelaki sejati apabila membuat pilihan ini.

Ewon Benedick
Yang akan memilih untuk berkahwin dengan seorang wanita dewasa.

Sumber: Ewon Benedick

The following two tabs change content below.

Shafika

Content Champion at Rev Asia Berhad
I'm not fat, I'm just easy to see

SKIP THIS AD ×