Sekadar gambar hiasan
Seorang lelaki dilaporkan maut akibat dihempap sebuah kereta ketika sedang mencuri ekzos kenderaan itu di Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang pada awal pagi semalam.
Maut dihempap kereta ketika mencuri
Menerusi laporan Kosmo, kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar 4 hingga 6 pagi dan ketika itu lelaki terbabit bersama seorang rakan disyaki sedang mencuri tabung ekzos kereta jenis Honda Accord. Namun malang tidak berbau, peralatan yang digunakan untuk mengangkat kereta berkenaan tiba-tiba terjatuh sebelum kereta itu menghempap si mati.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat iaitu Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor, pembantu perubatan Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang mengesahkan lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an itu telah meninggal dunia.
Pengangkat kereta digunakan mereka secara tiba-tiba telah terjatuh dan menghempap suspek yang berada tengah-tengah bahagian kereta di bawah tabung ekzos kenderaan tersebut.
Polis kemudian berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang juga rakan kepada si mati. Hasil semakan mendapati suspek memiliki tujuh rekod jenayah kes curi ekzos dan pecah rumah serta dua rekod narkotik manakala si mati mempunyai sembilan rekod lampau iaitu tujuh jenayah dan dua dadah.
Difahamkan, kes ini disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.
Sumber: Kosmo